Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OKT – Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong, menghadiri Mesyuarat Maya Menteri-menteri Pertanian dan Perhutanan ASEAN (AMAF) ke-42 melalui persidangan video, hari ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh KSSUP, di sini, Mesyuarat AMAF ke-42 dipengerusikan oleh Menteri Pertanian, Perhutanan dan Perikanan Kemboja, Tuan Yang Terutama Veng Sakhon.
Semasa mesyuarat menteri-menteri ASEAN yang bersidang menyatakan kebimbangan yang mendalam mengenai penularan COVID-19 yang telah menjejas kehidupan orang ramai dan ekonomi termasuk sektor makanan, pertanian dan perhutanan ASEAN dan dunia.
Dalam hubungan itu, menteri-menteri ASEAN mengulangi pentingnya Kenyataan Menteri-menteri ASEAN bagi Pertanian dan Perhutanan dalam Respons kepada COVID-19 untuk Memastikan Sekuriti Makanan, Keselamatan Makanan dan Pemakanan dalam ASEAN yang dikeluarkan pada 15 April 2020.
Dalam pernyataan bersama , menteri-menteri berpuas hati dengan perkembangan yang dibuat dalam pelaksanaan Pelan Strategik bagi Pertanian Makanan dan Perhutanan (SP-FAF) 2016-2025, termasuk pencapaian penyampaian utama dalam 2020, menyokong kajian jangka masa pertengahan bagi Visi dan Pelan Strategik untuk Kerjasama ASEAN dalam Makanan, Pertanian dan Perhutanan (SP-FAF), 2016-2025 dan Pelan Tindakan Sektoral (SPA), 2016-2020 yang mengetengahkan cabaran-cabaran utama, peluang serta cadangan bagi sektor berkenaan dalam tahun-tahun yang mendatang.
Dalam hubungan itu, menteri-menteri mengambil maklum akan perkembangan pelaksanaan penyampaian utama bagi sektor makanan, pertanian dan perhutanan dalam 2020 dan menyokong 10 penyampaian petunjuk meliputi ternakan, tanaman, perikanan dan perhutanan pada 2021.
Mesyuarat AMAF ini juga menyokong Rangka Kerja Sekuriti Makanan Berintegrasi ASEAN yang baharu (AIFS) dan Pelan Strategik bagi Tindakan untuk Sekuriti Makanan ASEAN (SPA-FS) 2021-2025 serta Resolusi dan Pelan Tindakan bagi Perikanan Mampan untuk Sekuriti Makanan bagi Rantau ASEAN Menuju 2030.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali juga menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN bagi Pertanian dan Perhutanan Plus Three ke-20 (20th AMAF+3) dan Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN-India bagi Pertanian dan Perhutanan ke-6 (6th AIMMAF).