JAKARTA, 7 SEPT – Anggota negara-negara ASEAN mengesahkan komitmen untuk mengukuhkan pemusatan, perpaduan dan pembinaan komuniti pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-43, lapor Xinhua.
Sidang Kemuncak ASEAN dan sidang-sidang kemuncak berkaitan yang diadakan selama tiga hari bertemakan ‘ASEAN Matters: Epicentrum of Growth’ dijadualkan berakhir di sini pada hari ini.
“Kami menyemak kemajuan ASEAN dan mengesahkan komitmen kami untuk mengukuhkan lagi ASEAN sebagai sebuah organisasi yang teguh dan tangkas, dilengkapi dengan kekukuhan kapasiti dan keberkesanan institusi bagi mengharungi cabaran hari ini dan untuk kekal relevan buat rakyat, rantau ini dan dunia,” kata Pengerusi Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 dalam kenyataan pada kelmarin.
ASEAN turut mengesahkan komitmen untuk mengekalkan dan mempromosikan keamanan, keselamatan dan kestabilan di rantau ini, serta penyelesaian pertikaian secara aman.
Badan serantau itu turut berikrar untuk menegakkan regionalisme dan multilateralisme, selain menekankan kepentingan mematuhi prinsip utama, nilai bersama dan norma sebagaimana yang termaktub dalam Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Piagam ASEAN dan Deklarasi Zon Keamanan, Kebebasan dan Berkecuali.
Beberapa siri dokumen telah diterima pakai pada sidang kemuncak itu, termasuk ASEAN Concord IV, Deklarasi Pemimpin ASEAN mengenai ASEAN dan rakyatnya sebagai pusat pertumbuhan.
ASEAN Concord IV menyatukan usaha berterusan badan serantau itu untuk memastikan ASEAN penting bagi rantau ini dan rakyatnya, selain kekal sebagai pusat pertumbuhan di rantau ini dan selainnya.
Negara-negara ASEAN juga berikrar untuk terus menggalakkan rakan kongsi melibatkan diri dalam kerjasama praktikal dalam empat bidang utama iaitu kerjasama maritim, kesalinghubungan, ekonomi dan Matlamat Pembangunan Mampan PBB 2030.
“Kami gembira dengan kemajuan ketara dalam pelaksanaan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP),” menurut kenyataan itu, sambil menyatakan terdapatnya keperluan mendesak untuk memastikan pelaksanaan RCEP yang berkesan bagi menyokong pemulihan ekonomi serantau selepas pandemik.
Menurut kenyataan itu, ASEAN turut menyambut baik penubuhan Pasukan Petugas Transaksi Mata Wang Tempatan ASEAN dan penyiapan Pelan Hala Tuju Kesambungan Pembayaran Serantau untuk ASEAN.
ASEAN juga sepakat mengenai kepentingan pelancongan mampan sebagai pemangkin kepada pemuliharaan alam sekitar dan pertumbuhan ekonomi.
Badan serantau itu juga bersetuju Filipina mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN 2026. – Bernama