JAKARTA, 13 NOV – Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn, menyeru kerjasama lebih mendalam dengan Itali, sambil menegaskan hubungan lebih erat dalam peralihan hijau, inovasi digital dan ekonomi kreatif yang mampu memacu pertumbuhan mampan serta kemakmuran jangka panjang bagi kedua-dua rantau.
Beliau berkata usaha ASEAN mencapai pelepasan sifar bersih menerusi Strategi ASEAN untuk Neutraliti Karbon, bersama inisiatif Grid Tenaga ASEAN bagi memperkukuh ketersambungan tenaga, menawarkan peluang baharu untuk kerjasama.
“Kepimpinan global Itali dalam tenaga boleh diperbaharui, reka bentuk lestari dan ekonomi kitaran menjadikannya rakan ideal dalam peralihan ini,” katanya ketika berucap pada Dialog Peringkat Tinggi kesembilan mengenai Hubungan Ekonomi ASEAN-Itali di Ho Chi Minh, Vietnam, hari ini.
Dalam ucaptama prarakaman yang dikeluarkan Sekretariat ASEAN itu, Kao berkata ASEAN sedang mempercepat transformasi digital melalui inisiatif seperti pembayaran digital serantau, ASEAN Single Window serta Rangkaian Bandar Pintar untuk meningkatkan keterhubungan dan inovasi.
Beliau berkata kerjasama antara ASEAN dan syarikat Itali dalam pemantauan bera-saskan angkasa lepas, perancangan bandar pintar dan ekosistem inovasi digital boleh memperkukuh tadbir urus, keterangkuman dan kemampanan.
Kao turut menekankan bahawa ekonomi kreatif kini muncul sebagai pemacu baharu pertumbuhan, dengan menyatakan bahawa mulai 2026 rantau ini akan memberi penekanan yang lebih besar pada kreativiti dan inovasi sebagai enjin pertumbuhan inklusif.
“Itali memiliki reputasi global dalam reka bentuk, fesyen serta seni dan pertukangan yang boleh menjadi rujukan penting ketika kita membangunkan industri kreatif, jenama dan aset budaya sendiri,” katanya.
Beliau berkata kerjasama lebih erat antara syarikat Itali dengan usahawan ASEAN, hab kreatif dan perusahaan kecil dapat membantu membina jenama serantau yang tersendiri, mencerminkan kepelbagaian Asia Tenggara serta diterjemah kepada nilai global. – Bernama

