HANOI, 3 OKT – Sektor pelancongan di ASEAN sedang menuju pemulihan, dengan carian hotel, kadar penghunian dan perjalanan kini dalam arah aliran yang semakin meningkat.
Agensi berita Vietnam (VNA) melaporkan kenyataan ASEAN baru-baru ini bahawa pertumbuhan dalam sektor pelancongan ‘meningkat’ pada suku keempat tahun ini.
Memetik Penjejak Pemulihan Pelancongan Pertubuhan Pelancongan Sedunia (UNWTO) PBB, ASEAN menunjukkan peningkatan 28 peratus setakat tahun ini dari segi carian hotel, serta 57 peratus kenaikan kadar penghunian.
Sentimen perjalanan secara keseluruhannya juga telah meningkat sebanyak 40 peratus setahun hingga kini, dan dijangka meningkat apabila lebih banyak vaksin COVID tersedia di seluruh dunia dan rintangan varian menjadi lebih ringan.
ASEAN mengambil maklum bahawa perkembangan ini telah membawa kepada pelonggaran sekatan sempadan yang berkaitan dengan pandemik.
Menurut ASEAN, pandemik wajar menjadi pendorong dan peluang bagi sektor itu untuk membangun dengan lebih teguh – dengan mereka bentuk dan membangunkan sektor pelancongan yang lebih mampan yang kelak dapat menyokong daya tahannya, dan tidak lagi diambil mudah.
“Matlamatnya adalah untuk memastikan sektor pelancongan di ASEAN muncul lebih mampan dan berdaya tahan berikutan krisis yang disebabkan COVID-19, dengan memberi lebih banyak tumpuan kepada pemuliharaan alam sekitar dan dasar mesra iklim, serta kesan sosiobudaya kritikal sektor pelancongan di rantau itu” menurut ASEAN dalam kenyataannya. – Bernama