Friday, March 7, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    ASEAN, Jepun komited perkukuh kerjasama pelbagai bidang

    JAKARTA, 6 MAC – Pegawai kanan ASEAN dan Jepun bersetuju untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang-bidang seperti jenayah rentas sempadan, keselamatan siber, pendigitalan, peralihan hijau, sains dan teknologi, pembangunan mampan serta tindakan iklim.

    Dalam mesyuarat di Forum ASEAN-Jepun ke-40 yang diadakan di Karuizawa, Jepun kelmarin, kedua-dua pihak juga menegaskan komitmen mereka untuk memajukan Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-Jepun (CSP) berdasarkan kepercayaan, saling hormat-menghormati dan perkongsian yang setara.

    Menurut Sekretariat ASEAN, perbincangan itu juga memberi tumpuan kepada pengukuhan kerjasama di bawah tiga teras CSP: Heart-to-Heart Partners Across Generations, Partners for Co-creation of Economy and Society of the Future, dan Partners for Peace and Stability.

    ASEAN menyambut baik komitmen Jepun untuk menyokong Pandangan ASEAN mengenai Indo-Pasifik (AOIP) melalui projek-projek konkrit yang bertujuan untuk memperkukuh kerjasama praktikal dalam bidang-bidang utama AOIP.

    Ini dilihat sebagai satu sumbangan untuk memajukan CSP secara terbuka, telus dan inklusif, kata sekretariat itu.

    Blok serantau itu juga mengalu-alukan cadangan Jepun untuk Kenyataan Bersama bagi mempromosikan lagi AOIP, yang dijadual diterima pakai pada Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun ke-28 dan akan diadakan akhir tahun ini.

    “Jepun menegaskan sokongan kukuhnya terhadap pemusatan ASEAN dan usaha membina komuniti ASEAN,” menurut kenyataan itu. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda