Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 DIS – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berkenan berangkat ke Sidang Kemuncak Komemoratif bagi Memperingati Ulang Tahun ke-50 Hubungan Persahabatan dan Kerjasama ASEAN-Jepun, yang berlangsung di Hotel Okura, Tokyo.
Sidang kemuncak komemoratif itu juga dihadiri oleh ketua-ketua negara dan kerajaan ASEAN, Jepun dan Republik Demokratik Timor-Leste.
Berangkat mengiringi Baginda Sultan ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
Keberangkatan tiba Baginda Sultan dialu-alukan oleh Perdana Menteri Jepun, Tuan Yang Terutama Fumio Kishida.
PEMBUKAAN DAN SESI 1 (SESI PLENO)




Baginda Sultan mula-mula berangkat menghadiri Pembukaan dan Sesi Pleno Sidang Kemuncak Komemoratif bagi Memperingati Ulang Tahun ke-50 Hubungan Persahabatan dan Kerjasama ASEAN-Jepun yang berlangsung di Heian-no ma I.
Sidang kemuncak dimulakan dengan ucapan pembukaan daripada TYT Fumio Kishida yang mengalu-alukan kehadiran para pemimpin dan delegasi yang menghadiri sidang kemuncak komemoratif berkenaan di Tokyo.
Ini diikuti dengan ucapan daripada Presiden Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Joko Widodo selaku Pengerusi ASEAN tahun ini; Presiden Pusat Penyelidikan Ekonomi untuk ASEAN dan Asia Timur (ERIA), Profesor Tetsuya Watanabe; dan Setiausaha Agung Pusat ASEAN-Jepun, Dr Kunihiko Hirayabashi.
Pada sesi pleno, Baginda Sultan berkenan mengurniakan titah, di mana Baginda mengakui Jepun sebagai salah sebuah rakan kongsi ASEAN yang sudah lama terjalin dan paling teguh, dan penubuhan Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-Jepun pada September 2023 lalu merupakan satu perkembangan yang semula jadi bagi hubungan dialog berkenaan.
Kerjasama yang sangat rapat sepanjang lima dekad ini telah membolehkan ASEAN dan Jepun untuk memupuk rasa saling percaya yang mendalam dan hormat-menghormati antara satu sama lain sambil bekerjasama merentasi semua tonggak Komuniti ASEAN, bersama-sama meraih peluang dan menangani cabaran tahun demi tahun.
Selain itu, Baginda bertitah menyatakan bahawa ASEAN dan Jepun berkongsi pelbagai hasrat ekonomi, sosial dan kebudayaan yang sama, serta memastikan keamanan dan kestabilan serantau dalam rangka kerja serantau yang terbuka dan inklusif. Oleh itu, menerima pakai Joint Vision Statement and its Implementation Plan yang baharu akan mengukuhkan lagi perkongsian ASEAN-Jepun pada masa hadapan.
Baginda menegaskan bahawa ini adalah lebih relevan memandangkan situasi ketidaktentuan geopolitik yang melanda pada ketika ini, justeru itu, ia adalah sangat mustahak untuk terus mengukuhkan prinsip asas semangat serantau dan pelbagai hala dalam hubungan antara ASEAN dan Jepun.
Tambahan lagi, ASEAN dan Jepun masih berpotensi tinggi untuk bekerjasama dalam meningkatkan keamanan dan kestabilan demi kemakmuran dan pembangunan yang berterusan.
Dalam hal ini, ASEAN dan Jepun, selaku ahli-ahli masyarakat antarabangsa, perlu terus memegang prinsip berdasarkan Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan peraturan undang-undang antarabangsa.
Di akhir titah, Baginda telah menekankan bahawa usaha-usaha sedemikian akan dapat memperkukuh kerelevanan dan kesejagatan PBB, sekali gus memastikan tiada pengecualian, khususnya dalam usaha ke arah pembaharuan Majlis Keselamatan PBB.
SESI 2 (WORKING LUNCH): HEART TO HEART PARTNERS ACROSS GENERATIONS
Sementara itu, pada sesi kedua, Baginda telah bertitah menegaskan kembali bahawa perkongsian ASEAN dan Jepun selama ini telah memainkan peranan penting dalam memupuk kepercayaan antara satu sama lain dan persahabatan dalam kalangan rakyat.
Ini melalui inisiatif-inisiatif seperti Program Persahabatan Abad ke-21; Program Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun (SSEAYP); Program Pertukaran Rangkaian Pelajar dan Belia Jepun-Asia Timur (JENESYS); dan biasiswa Kemen-terian Pendidikan, Kebudayaan, Sukan, Sains dan Teknologi (MEXT), yang telah berjaya menjadi asas kukuh bagi hubungan antara rakyat ASEAN dan Jepun.
Tambahan lagi, Baginda mengalu-alukan Projek WA 2.0 yang diumumkan oleh TYT Kishida, ke arah meningkatkan dan mengukuhkan lagi hubungan.
Selain itu, inisiatif-inisiatif berkenaan juga telah membantu ASEAN dan Jepun untuk memanfaatkan peluang demi pembangunan dan kemakmuran, dan pelaburan yang berharga bagi memastikan hubungan akrab dan perkongsian kukuh akan dapat dikekalkan dalam 50 tahun seterusnya.
Baginda mengiktiraf bahawa Brunei Darussalam juga menaruh kepercayaan akan kepentingan menyediakan peluang-peluang kepada para pemimpin muda yang berkongsi nilai dan matlamat yang sama dalam mewujudkan persahabatan dan rangkaian bersama.
Oleh itu, ASEAN Junior Fellowship Programme dimulakan bagi memupuk dan meningkatkan perpaduan dalam kalangan pegawai muda di ASEAN, serta kerjasama penting bersama rakan-rakan dialog masing-masing. Dalam hal ini, Baginda mengalu-alukan sokongan Jepun terhadap program tersebut.
Pada mengakhiri titah, Baginda menekankan bahawa semua inisiatif yang melibatkan golongan belia dan pegawai-pegawai muda sebagai pemimpin masa depan akan dapat menyumbang ke arah mengukuhkan lagi heart-to-heart partnership, sekali gus memastikan masa depan yang harmoni dan sejahtera bersama.
SESSION 2: PARTNERS FOR CO-CREATION OF ECONOMY AND SOCIETY OF THE FUTURE
Manakala pada sesi seterusnya, Baginda bertitah menekankan bahawa rantau Asia Pasifik dijangka akan terus menjadi pusat pertumbuhan ekonomi pada tahun-tahun akan datang meskipun berhadapan dengan ketidaktentuan global, dengan pertumbuhan yang dijangkakan sebanyak 4.2 peratus pada 2024, menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Walau bagaimanapun, pertumbuhan tersebut adalah berisiko jika terdapat kegagalan untuk sama-sama menangani cabaran dengan segera.
Salah satu cabaran yang mendesak adalah peningkatan kesan-kesan perubahan iklim, yang mana kejadian cuaca semakin kerap dan terlalu kuat, seperti suhu melampau, ribut yang menjejaskan, banjir dan kemarau yang berpanjangan.
Baginda seterusnya bertitah menyatakan bahawa Conference of the Parties of the United Nations Framework Convention on Climate Change (COP) yang berlangsung di Dubai baru-baru ini telah mencapai kesepakatan dalam langkah-langkah, terutama sekali untuk mengehadkan peningkatan suhu ke 1.5 darjah Celsius.
Oleh itu, ASEAN dan Jepun harus bekerjasama untuk mewujudkan langkah-langkah yang nyata dan inovatif, yang memberi tumpuan kepada mengurangkan dan menyesuaikan diri dengan perubahan corak iklim.
Pada akhir titah, Baginda mengalu-alukan kepakaran Jepun dalam menggubal dasar, perkongsian teknologi, dan inisiatif negara berkenaan untuk menubuhkan Asia Zero Emission Community (AZEC).
Baginda juga menzahirkan kepercayaan bahawa ASEAN akan meraih manfaat yang signifikan daripada perkara-perkara tersebut, khususnya melalui kerjasama melalui Pusat Perubahan Iklim ASEAN.
Pada penghujung sidang kemuncak komemoratif tersebut, Joint Vision Statement on ASEAN-Japan Friendship and Cooperation and the Implementation Plan of the Joint Vision Statement on ASEAN-Japan Friendship and Cooperation: Trusted Partners diluluskan.
KEBERANGKATAN BALIK
Pada sebelah petang, Baginda Sultan berangkat balik dari Tokyo setelah selesai mengadakan Keberangkatan Rasmi ke Jepun dan menghadiri sidang kemuncak komemoratif berkenaan.
Berangkat mengiringi Baginda Sultan ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
Sebelum berangkat balik, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Hadir di lapangan terbang bagi menyembahkan ucapan selamat berangkat kehadapan majlis Baginda Sultan ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Jepun ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Maeda Toru. Juga hadir ialah Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Jepun, Tuan Yang Terutama Haji Shahbudin bin Haji Musa.

