KUALA LUMPUR, 30 JULAI – Kedudukan ASEAN sebagai kuasa ekonomi serantau yang berkembang pesat kekal utuh, begitu juga komitmennya untuk meningkatkan integrasi ekonomi termasuk dalam bidang kewangan, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.
Beliau berkata usaha yang dilaksanakan ke arah integrasi ekonomi merangkumi inisiatif seperti infrastruktur pembayaran saling boleh kendali bertujuan memperkukuh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Katanya terdapat momentum yang meningkat ke arah saling kebergantungan ekonomi dan kerjasama serantau yang lebih baik serta hasilnya, kemajuan berterusan dalam integrasi dapat dijangkakan berdasarkan ruang yang besar untuk pertumbuhan dalam bidang ini.
Sebagai contoh, Abdul Rasheed berkata perdagangan antara ASEAN, yang kini menyumbang 22 peratus daripada jumlah perdagangan perkumpulan itu dan jauh ketinggalan berbanding Kesatuan Eropah yang mencatatkan kira-kira 50 peratus.
Secara optimis, beliau menekankan rantau itu kini mempunyai infrastruktur yang diperlukan untuk merealisasikan matlamat tersebut.
Abdul Rasheed berkata inovasi seperti respons pantas (QR) merentas sempadan atau biasanya dikenali sebagai sistem pembayaran QR, merevolusikan cara perniagaan menjalankan urus niaga.
Pada 2024, kira-kira 5.2 juta transaksi pembayaran QR rentas sempadan telah dicatatkan, meningkat empat kali ganda daripada tahun sebelumnya, menekankan nilai yang dibawa oleh perkhidmatan ini kepada pengguna dan peniaga.
“Hal itu merupakan pemangkin utama kepada perubahan terutamanya bagi PMKS, yang merupakan tunjang kepada ekonomi ASEAN,” katanya.
Beliau berkata, walaupun syarikat besar turut penting, memperkasakan PMKS untuk mengambil bahagian sepenuhnya dalam anjakan perubahan ini akan membuka potensi besar yang belum lagi dimanfaatkan.
Menurut laporan, terdapat 70 juta PMKS di ASEAN, menyumbang 97.2 peratus iaitu 99.9 peratus daripada jumlah syarikat di negara anggota ASEAN.
Di peringkat serantau, PMKS menyumbang 85 peratus kepada pekerjaan, 44.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan 18 peratus kepada eksport negara. – Bernama


