KUANTAN, 11 JUN – Majlis Penasihat Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) mengenai Dadah Berbahaya (AIPACODD) mengulangi komitmen mereka untuk meningkatkan kerjasama dalam menangani cabaran berkaitan dadah, selain peluasan mandat bagi memerangi jenayah rentas sempadan.
Pengerusi Mesyuarat ke-8 AIPACODD, Datuk Dr Ramli Mohd Nor berkata penerimaan sebulat suara terhadap resolusi bertajuk Menyatukan Parlimen untuk ASEAN yang Inklusif dan Mampan dalam Menangani Cabaran Dadah Kontemporari menandakan satu titik perubahan penting bagi majlis itu.
“Resolusi itu bukan sekadar dokumen untuk disimpan dalam arkib. Ia membayangkan semula bagaimana parlimen ASEAN boleh bekerjasama menangani ancaman yang tidak mengenal sempadan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ramli yang juga merupakan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat berkata majlis itu turut mencapai kata sepakat berhubung terma rujukan bagi sebuah Jawatankuasa Kajian untuk meneliti transformasi AIPACODD kepada satu badan yang mampu menangani pelbagai isu jenayah rentas sempadan.
Beliau turut menekankan kepentingan menangani dimensi digital dalam penyeludupan dadah, termasuk farmasi dalam talian yang tidak dikawal dan penggunaan media sosial sebagai pasaran maya yang menyasarkan golongan belia.
Tambahnya, hasil perbincangan yang dijadualkan untuk dibentangkan pada Perhimpunan Agung AIPA ke-46 pada September ini, beliau yakin resolusi yang dibawa akan memperkukuh kedudukan AIPA sebagai platform parlimen serantau utama dalam menangani jenayah rentas sempadan.
Sementara itu, beliau berkata peralihan kepimpinan kepada Filipina sebagai tuan rumah Perhimpunan Agung AIPA yang akan datang, menandakan kesinambungan amanah dan tanggungjawab bersama dalam kalangan parlimen negara anggota ASEAN.
Mesyuarat AIPACODD berakhir hari ini selepas berlangsung selama dua hari bermula semalam. – Bernama
