Monday, April 14, 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    ASEAN komited tangani isu perdagangan menerusi dialog

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 APRIL – Negara-negara anggota ASEAN meluahkan hasrat bersama untuk mengadakan dialog konstruktif dan terbuka dengan Amerika Syarikat (AS) bagi menangani kebimbangan berkaitan isu perdagangan.

    Kolaborasi dan komunikasi terbuka adalah penting untuk memastikan hubungan yang seimbang dan mampan.

    Dalam semangat itu, ASEAN komited untuk tidak mengenakan sebarang tindakan balas sebagai respons terhadap tarif AS. Perkara itu ditekankan dalam Kenyataan Bersama Menteri-menteri Ekonomi ASEAN (AEM) semasa Mesyuarat Khas AEM yang berlangsung secara persidangan video, hari ini.

    Dalam kenyataan bersama itu, para menteri yang bersidang menyatakan AS merupakan rakan kongsi ekonomi ASEAN yang lama dan dihargai.

    Mereka turut menyatakan ASEAN kekal komited untuk menjaga kepentingan ekonomi ASEAN serta mengekalkan hubungan perdagangan kukuh dan saling menguntungkan dengan AS.

    Menteri-menteri ekonomi ASEAN dan Setiausaha Agung ASEAN yang menghadiri Mesyuarat Khas AEM yang berlangsung secara persidangan video, kelmarin. – GAMBAR OLEH SEKRETARIAT ASEAN
    GAMBAR OLEH SEKRETARIAT ASEAN

    “Khususnya, kami mengesahkan kesediaan kami untuk bekerjasama dengan AS di bawah Perjanjian Rangka Kerja Perdagangan dan Pelaburan ASEAN-AS (TIFA) dan Pelan Kerja Penglibatan Ekonomi Diperluas (E3) untuk meneroka penyelesaian yang boleh diterima mengenai isu kepentingan bersama.

    “Ini termasuk memudahkan perdagangan dan pelaburan dua hala, memperdalam perkongsian perdagangan strategik dan meningkatkan ketersambungan dan daya tahan rantaian bekalan melalui teknologi digital dan inovasi, yang boleh menggalakkan
    kerjasama serantau yang lebih kukuh.”

    Terdahulu, para menteri yang bersidang menyatakan ASEAN, sebagai ekonomi kelima terbesar di dunia, amat bimbang dengan pengenalan tarif unilateral oleh AS baru-baru ini, termasuk tarif yang diumumkan pada 2 April lalu dan penggantungan terbaharu kelmarin.

    Ia sekali gus menimbulkan ketidakpastian dan bakal membawa cabaran besar kepada perniagaan, terutamanya perniagaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) selain dinamik perdagangan global.

    Pengenaan tarif yang tidak pernah berlaku sebelum ini oleh AS akan mengganggu aliran perdagangan dan pelaburan serantau dan global serta rantaian bekalan, yang menjejaskan perniagaan dan pengguna di seluruh dunia termasuk AS.

    Di samping itu, ia juga akan memberi kesan kepada keselamatan dan kestabilan ekonomi, menjejaskan mata pencarian jutaan orang di rantau ini serta menghambat kemajuan ekonomi di ASEAN, terutamanya ekonomi-ekonomi yang kurang maju serta hubungan perdagangan dan ekonomi ASEAN-AS yang sekian lama terjalin.

    “Ini terutamanya pada 2024, AS merupakan sumber pelaburan langsung asing (FDI) terbesar ASEAN dan rakan dagangan kedua terbesar.

    “ASEAN percaya rangka kerja kerjasama ASEAN-AS yang dipertingkat, teguh dan berpandangan ke hadapan akan menyumbang kepada kemakmuran rakyat dan ekonomi global yang lebih luas,” menurut kenyataan.

    Selain itu, rangka kerja sedemikian akan mengukuhkan penglibatan yang membina, memupuk rantaian bekalan serantau dan memacu inisiatif inovatif untuk memastikan hubungan ekonomi yang berdaya tahan, terjamin, stabil serta saling menguntungkan dengan tumpuan khusus pada sektor bernilai tinggi, termasuk perkhidmatan digital dan industri berasaskan pengetahuan, makanan, pertanian dan perhutanan, teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui, pembuatan canggih, kasut dan produk elektronik, penjagaan kesihatan dan bioteknologi serta peralatan dan produk pengangkutan.

    Para menteri yang bersidang mengesahkan semula sokongan mereka bagi sebuah sistem perdagangan pelbagai hala yang berdasarkan peraturan, mampan, inklusif, adil, bebas, telus dan boleh diramalkan dengan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) sebagai terasnya dan mengakui peranan penting yang telah dimainkan oleh WTO dalam memupuk pertumbuhan ekonomi global.

    “ASEAN menyokong kenyataan oleh Ketua Pengarah WTO, Dr Ngozi Okonjo-Iweala, baru-baru ini, yang mengetengahkan tarif AS akan mempunyai implikasi yang besar kepada perdagangan global dan prospek pertumbuhan ekonomi, terutamanya negara kurang maju (LDC) dan menggalakkan WTO digunakan sebagai forum untuk membina dialog untuk membantu mencegah konflik perdagangan dan memanfaatkan WTO bagi penglibatan membina serta mencari penyelesaian kerjasama.”

    ASEAN akan terus mengekalkan komitmen dalam perjanjian ASEAN dan inisiatif kemajuan yang penting untuk memacu perdagangan di rantau ASEAN termasuk Peningkatan Perjanjian Perdagangan Dalam Barang ASEAN (ATIGA) dan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA).

    “Kami juga akan mengembangkan hubungan ekonomi dengan rakan kongsi luar ASEAN, termasuk rakan dialog dan mencari peluang untuk kerjasama ekonomi dengan rakan kongsi baharu.”

    Dalam konteks itu, sebagai satu kumpulan, negara anggota akan terus membincangkan cara bagaimana untuk mengukuhkan lagi dan meningkatkan perdagangan serta pelaburan intra-ASEAN di rantau ini.

    “Sebagai tindak balas kepada kesan ekonomi yang mungkin timbul, kami akan terus bekerjasama dengan lebih erat dan kekal komited kepada perdagangan berasaskan peraturan ASEAN.”

    Usaha kolektif berkenaan akan membolehkan ASEAN menangani serta mengatasi krisis perdagangan global, meminimumkan kesan ke atas rakyat dan terus berkembang secara mampan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda