Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MEI – Penubuhan Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) pada tahun 1967 menandakan peristiwa penting di rantau ini dan telah menjadi pendorong untuk menggalakkan kerjasama ekonomi dan keselamatan dalam kalangan ahli-ahli anggotanya.
Oleh itu, dengan sokongan Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada tahun ini di bawah tema Keterangkuman dan Kemampanan, ia mencerminkan komitmen ASEAN untuk memupuk daya tahan dan kemakmuran serantau, di samping meningkatkan kerjasama sebagai tindak balas kepada cabaran-cabaran global dan tekanan-tekanan luar yang berterusan.
Perkara itu ditekankan oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) semasa berkenan mengurniakan sabda pada Majlis Perasmian Persidangan Menteri-menteri ASEAN yang Bertanggungjawab ke atas Penerangan (AMRI) ke-17 yang berlangsung di Dewan Indera Samudera, The Empire Brunei, pagi ini.
Duli Yang Teramat Mulia turut berharap untuk menerima pakai Visi Komuniti ASEAN 2045 di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 akan datang. Visi itu akan berfungsi sebagai pelan hala tuju ASEAN dalam tempoh 20 tahun akan datang, meningkatkan daya tahan dan kebolehsuaian ASEAN dalam landskap global yang sentiasa berubah sementara menangani trend baharu muncul yang memberikan peluang dan cabaran.
“Untuk mencapai kejayaan visi itu, ia mesti disampaikan secara berkesan kepada orang ramai dengan cara yang bersesuaian dengan kehidupan seharian mereka, mengubahnya daripada sekadar rangka kerja dasar kepada aspirasi bersama yang dirangkul oleh semua.

“Dalam hal ini, AMRI memainkan peranan yang penting. Sejak ditubuhkan pada tahun 1989, AMRI secara konsisten telah menyokong visi ASEAN, bukan sahaja dengan menyumbang kepada keamanan dan kestabilan serantau, tetapi juga dengan mengembangkan usaha integrasi ASEAN,” sabda Duli Yang Teramat Mulia.
Duli Yang Teramat Mulia seterusnya memuji sektor penerangan ASEAN atas sumbangannya dalam meningkatkan literasi di seluruh rantau ini. Ketika dunia melangkah ke era digital, dengan sesetengah negara menerajui inovasi, kadar literasi yang tinggi adalah penting. Ia sekali gus memperkasakan masyarakat kita untuk mengemudi dan memanfaatkan ruang digital dengan berkesan.
Terdahulu, Duli Yang Teramat Mulia mengalu-alukan kedatangan tetamu-tetamu luar negara; AMRI; pegawai-pegawai kanan yang bertanggungjawab ke atas penerangan (SOMRI) ASEAN; rakan-rakan dialog ASEAN Plus Three dan perwakilan masing-masing; duta-duta besar dari 10 buah negara anggota ASEAN; Republik Rakyat China; Jepun; Republik Korea; Republik Demokratik Timor-Leste; Timbalan Setiausaha Agung Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC) serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.
Duli Yang Teramat Mulia turut merakamkan penghormatan bagi Negara Brunei Darussalam untuk menjadi tuan rumah mesyuarat tahun ini dan percaya bahawa segala perbincangan akan membuahkan hasil yang substantif dan kemajuan yang besar selaras dengan visi strategik dan arahan daripada para pemimpin.
Selain itu, Duli Yang Teramat Mulia turut mengongsikan JPM Negara Brunei Darussalam sentiasa menjalankan inisiatif bertujuan untuk meluaskan jangkauan khalayak dan memudahkan peralihan yang lancar kepada platform digital.
Duli Yang Teramat Mulia juga bersabda bahawa Negara Brunei Darussalam adalah salah satu negara anggota ASEAN yang pertama melengkapkan Analogue Switch Off pada 31 Disember 2017, menandakan satu peristiwa penting dalam peralihan ke arah era penyiaran digital sepenuhnya.
“Walau bagaimanapun, ketika transformasi digital membuka kunci peluang baharu, ia juga telah membawa pelbagai cabaran baharu. Kepesatan kemajuan teknologi, terutamanya dalam bidang kecerdasan buatan telah menambahkan kekompleksan kepada persekitaran dalam talian. Oleh itu, adalah penting bagi sektor penerangan berkembang seiring dengan perubahan pantas landskap media ini,” sabda Duli Yang Teramat Mulia.
Memandangkan jejak digital ASEAN yang kukuh dan berkembang, Duli Yang Teramat Mulia berharap untuk melihat AMRI bekerjasama dengan sektor lain untuk menangani isu itu secara proaktif. Sesungguhnya, pendekatan rentas sektor ini adalah penting dalam memastikan rantau ini bukan sahaja mampu menyaingi transformasi digital, tetapi juga melindungi integriti, keterangkuman dan keselamatan digital yang dikongsi bersama pada masa hadapan.
Pada akhir sabda, Duli Yang Teramat Mulia juga menegaskan komitmen kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk meningkatkan kerjasama dan membuat sumbangan yang bermakna dan signifikan bagi membuka jalan kepada perpaduan yang dipertingkatkan dengan azam kolektif semua untuk lebih berdaya tahan dan bersiap sedia menghadapi kejutan masa depan.