KUALA LUMPUR/NEW YORK, 28 SEPT – ASEAN mesti meneruskan usaha untuk memulihkan kredibiliti Konsensus Lima Perkara di samping memupuk keselamatan dan kestabilan di Myanmar.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata ASEAN amat kecewa apabila gencatan senjata yang dipersetujui di Myanmar telah dicabuli di beberapa kawasan, manakala keganasan terus membahayakan orang awam.
“Mereka yang berkuasa mempunyai tanggungjawab untuk mengingati bahawa Myanmar adalah sebahagian daripada rantau, bukan negara terpencil.
“Terdapat masa depan yang cerah dan selamat untuk semua rakyat jika kita bekerjasama dengan penuh keikhlasan ke arah penyelesaian krisis di negara itu yang dipimpin dan dimiliki oleh rakyat Myanmar sendiri,” katanya.
Mohamad berkata demikian ketika menyampaikan Kenyataan Negara pada Sesi ke-80 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) di ibu pejabat PBB, kelmarin.

Menurut Mohamad, ASEAN akan terus memainkan peranan penting sebagai sebuah blok serantau dalam memastikan keamanan, memperkukuh keselamatan, meningkatkan daya tahan ekonomi dan memajukan matlamat kemampanan di seluruh rantau ini.
Sebagai pengerusi ASEAN pada 2025, Mohamad berkata Malaysia juga menyedari betapa besar usaha yang diperlukan untuk mencapai keamanan.
“Apabila konflik kian memuncak di antara jiran kita, ASEAN tidak berdiam diri. Kita tampil, mempertemukan kedua-dua pihak di Malaysia dan melaksanakan gencatan senjata, satu langkah yang kini memastikan ASEAN terus berakar-umbi melalui pemantauan aktif di lapangan.
“Ya, cabaran tetap ada. Tetapi mesej kita jelas. ASEAN akan kekal di meja rundingan, menggesa kedua-dua negara menghormati komitmen mereka.
“Tiada konflik, sama ada antara negara atau dalam negara, yang berbaloi untuk mempertaruhkan kestabilan rumah kita,” katanya.
Beliau berkata menjadi satu penghormatan, dan pada masa sama tugas terbesar Malaysia untuk menangani cabaran Asia Tenggara tahun ini.
Mohamad berkata blok serantau yang merangkumi 10 negara anggota itu telah menerima perubahan, memperluas keanggotaan dan giat berinteraksi dengan dunia sepanjang 58 tahun lalu, sambil kekal komited menangani cabaran dalaman mahupun cabaran yang muncul dari luar rantau. – Bernama

