Monday, May 12, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    ASEAN, Norway bakal pertingkat perkongsian

    JAKARTA, 31 Mei – ASEAN dan Norway telah mengulangi ketetapan mereka untuk terus mempertingkat perkongsian dengan meneroka kerjasama praktikal dalam beberapa bidang yang saling menguntungkan, lapor agensi berita Indonesia Antara.

    Kedua-dua pihak mencadangkan beberapa bidang untuk kolaborasi masa depan termasuk persekitaran marin dan ekonomi biru, perubahan iklim, tenaga diperbaharui, biodiversiti serta merapatkan jurang pembangunan di ASEAN, menurut Sekretariat ASEAN dalam satu kenyataan di sini.

    Kenyataan itu dikeluarkan susulan Mesyuarat Ketiga Jawatankuasa Kerjasama Sektoral Bersama ASEAN-Norway (AN-JSCC) yang berlangsung di bangunan Sekretariat ASEAN di selatan Jakarta pada 28 Mei 2018.

    ASEAN dan Norway turut berpuas hati dengan perkembangan kerjasama sedia ada berikutan permulaan perkongsian itu tiga tahun lepas.

    Mesyuarat itu telah membincangkan secara meluas projek-projek yang telah siap, sedang berjalan dan dirancang dalam melaksanakan Pelan Utama bagi Perkongsian Dialog Sektoral ASEAN-Norway.

    Negara anggota ASEAN menyambut baik sokongan Norway terhadap aktiviti-aktiviti Institut Perdamaian dan Rekonsiliasi ASEAN, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Antara Kerajaan ASEAN serta pembangunan Portal Kehakiman ASEAN.

    Mesyuarat itu dipengerusikan bersama oleh Timbalan Setiausaha Agung ASEAN bagi Jabatan Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN, Hoang Anh Tuan, dan Duta Norway ke ASEAN, Morten Hoglund.

    Ia dihadiri anggota-anggota Jawatankuasa Perwakilan Tetap ke ASEAN. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda