JAKARTA, 13 JUN – ASEAN dan Norway berikrar untuk memperkukuh kerjasama menerusi pelan tindakan baharu 2026–2030, susulan lawatan kerja Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn ke Oslo minggu ini sempena ulang tahun ke-10 hubungan rasmi kedua-dua pihak.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan Sekretariat ASEAN, lawatan empat hari yang berakhir pada 12 Jun atas jemputan kerajaan Norway itu menandakan perkembangan hubungan ASEAN–Norway sejak pelancaran Perkongsian Dialog Sektoral pada 2015.
“Lawatan itu menunjukkan keluasan dan kedalaman hubungan ASEAN–Norway sepanjang dekad lalu serta mengukuhkan lagi komitmen bersama kedua-dua pihak untuk mempertingkatkan perkongsian sedia ada,” menurut kenyataan itu.
Lawatan itu turut menyerlahkan kerjasama pelbagai bidang antara ASEAN dan Norway sejak hubungan Perkongsian Dialog Sektoral dimeterai pada 2015.
Semasa di Oslo, Kao mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Jonas Gahr Støre, Menteri Luar, Espen Barth Eide, serta Menteri Perdagangan dan Industri, Cecilie Myrseth, membincangkan perkembangan serantau dan global, perdagangan dan pelaburan, serta usaha bersama dalam tadbir urus laut yang lestari dan ekonomi biru.
Kedua-dua pihak turut mengulangi sokongan terhadap perintah antarabangsa berasaskan peraturan serta komited memajukan kerjasama praktikal di bawah Tinjauan ASEAN mengenai Indo-Pasifik (AOIP), termasuk menegaskan kepentingan Pemusatan ASEAN dan rangka kerja serantau yang inklusif. – Bernama
