KUALA LUMPUR, 15 OKT – ASEAN komited untuk mempercepat peralihan kepada tenaga bersih, meningkatkan jaminan tenaga dan memperluas kesalinghubungan untuk memacu matlamat tenaga serantau dan kerjasama, dengan memanfaatkan sumber yang dapat dikongsi dalam kalangan negara anggota untuk menerapkan kemakmuran bersama.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Malaysia, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata mencapai matlamat ini bergantung pada kerjasama serantau dan kesalinghubungan sebagai pemudah cara utama.
“Dialog, perbincangan dan pertukaran pengetahuan antara rakan kongsi dan pihak berkepentingan akan menjadi elemen penting untuk merealisasikan aspirasi ini.
“Inilah sebabnya platform seperti Forum Perniagaan Tenaga ASEAN (AEBF-25) memainkan peranan penting dalam kerjasama tenaga kita. Ia menghimpunkan pegawai kerajaan, pemimpin perniagaan dan pihak berkepentingan tenaga global untuk membincangkan masa depan tenaga kita,” katanya dalam ucapan pada majlis praperasmian AEBF-25 di Kuala Lumpur, hari ini.
Sementara itu, Pengarah Dasar Tenaga Institut Penyelidikan Ekonomi ASEAN dan Asia Timur dan Ketua Pusat Pelepasan Sifar Asia, Dr Nuki Agya Utama berkata peralihan tenaga ASEAN perlu dilaksanakan secara inklusif dan saksama.
Beliau berkata setiap negara anggota perlu berupaya untuk maju mengikut keadaan negara masing-masing, dengan sokongan dan peluang yang sesuai.
Katanya, memperkukuh kerjasama antara kerajaan, sektor swasta dan organisasi antarabangsa akan menjadi faktor penting untuk memacu kemajuan dan memastikan manfaat masa depan tenaga mampan dapat dikongsi di seluruh rantau ini. – Bernama


