Saturday, November 23, 2024
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    ASEAN, Perancis lancar inisiatif kerjasama baharu

    JAKARTA, 13 NOV – ASEAN dan Perancis telah melancarkan inisiatif baharu yang bertujuan mengukuhkan perkongsian pembangunan mereka dengan menyasarkan bidang utama seperti industri kreatif, pengurusan tanah gambut, pembersihan periuk api, dan Grid Kuasa ASEAN.

    Inisiatif baharu itu diumumkan semasa Mesyuarat Keempat Jawatankuasa Kerjasama Pembangunan ASEAN-Perancis (DPC) yang diadakan di Sekretariat ASEAN kelmarin.

    Menurut kenyataan Sekretariat ASEAN, kedua-dua pihak juga bersetuju untuk meluaskan kerjasama dalam bantuan kemanusiaan, promosi bahasa dan budaya Perancis, serta pertukaran antara rakyat.

    “ASEAN menyambut baik komitmen kuat Perancis untuk meningkatkan perkongsian termasuk melalui penubuhan Dana ASEAN-Perancis, yang bertujuan untuk meningkatkan projek kerjasama ketara antara ASEAN dan Perancis,” menurut sekretariat itu.

    Perkongsian itu juga akan diperluaskan untuk merangkumi bidang seperti peralihan tenaga, keselamatan makanan, media dan maklumat serta latihan vokasional manakala kedua-dua pihak berusaha untuk mengintegrasikan empat bidang keutamaan yang digariskan dalam Pandangan ASEAN mengenai Indo-Pasifik.

    “Perancis memperbaharui sumbangannya sebanyak AS$100,000 daripada Dana ASEAN-Perancis dan mengumumkan tambahan sebanyak AS$100,000 untuk membantu golongan muda mengadakan lawatan kerja ke Perancis untuk memahami proses pembuatan dasar negara dalam Kesatuan Eropah, dalam konteks pelbagai hala dan secara dua hala dengan ASEAN,” kata Sekretariat ASEAN.

    Pegawai menyemak kemajuan dalam Kawasan Kerjasama Praktikal ASEAN-Perancis (2022-2026) yang memfokuskan pada pengangkutan, perubahan iklim, pengurusan bencana, pembinaan kapasiti, dan promosi kualiti udara.

    Mesyuarat itu dipengerusikan bersama oleh Timbalan Setiausaha Agung ASEAN bagi komuniti keselamatan politik Datuk Astanah Abdul Aziz dan Duta Perancis ke ASEAN Fabien Penone.

    Duta Besar Timor-Leste, Natercia Cipriana Coelho da Silva turut hadir sebagai pemerhati. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda