Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri
Isu bencana semasa dan strategi pengurusan bencana sedunia telah disuarakan oleh menteri-menteri yang bertanggungjawab bagi pengurusan bencana serta para pegawai kanan kerajaan serantau dan ketua-ketua agensi dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan organisasi antarabangsa, institusi penyelidikan, agensi-agensi media, badan-badan sukarelawan dan badan bukan kerajaan antarabangsa.
Ia diketengahkan semasa Persidangan Asia-Pacific Ministerial Conference on Disaster Risk Reduction (APMCDRR) 2022.
Persidangan yang berlangsung di Brisbane, Australia bermula 19 hingga 22 September itu, merupakan anjuran United Nations Office for Disaster Risk Reduction (UNDRR) dan kerajaan Australia.
Ia merangkumi sesi Forum Menteri, Dialog Peringkat Tinggi, Sesi Tematik, Simposium serta pameran yang menyaksikan penyertaan lebih 3,000 orang peserta dari 40 buah negara secara fizikal dan secara maya.
Negara Brunei Darussalam yang diwakili oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman dan Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan), Awang Salminan bin Haji Burut turut menghadiri mesyuarat berkenaan.
Negara-negara anggota ASEAN yang menyertai mesyuarat itu turut mengeluarkan kenyataan bersama di mana mereka mengesahkan semula komitmen ke arah pelaksanaan penuh dan efektif Rangka Kerja Sendai bagi Pengurangan Risiko Bencana (SFDRR) 2015-2030.
ASEAN juga telah menyelaraskan Program Kerja ASEAN Agreement on Disaster Management on Emergency Response (AADMER) 2021-2025 dengan SFDRR di mana ASEAN akan memanfaatkan semakan pertengahan penggal SFDRR pada 2023 untuk mempercepatkan lagi usaha bagi meningkatkan pe-ngurangan risiko bencana serta membina kedayatahanan di rantau ASEAN.
Para menteri yang bersidang turut mengesahkan sokongan kuat kepada pelaksanaan Pelan Tindakan Asia-Pasifik 2021-2024 bagi pelaksanaan SFDRR.
Pada masa yang sama, mereka juga komited untuk mencapai matlamatnya bagi mempercepatkan transformasi Asia-Pasifik bagi pembangunan bermaklumat risiko.
Pengurangan risiko bencana merupakan tema silang serta meningkat pelaburan dalam pencegahan, pengurangan risiko, penyesuaian kepada perubahan iklim dan pendekatan kesiapsiagaan bagi meningkatkan kedayatahanan.
Di samping itu, para menteri yang bersidang menyedari hubungan di antara kedayatahanan bencana dengan faktor-faktor alam sekitar, sosial dan urus tadbir (ESG) supaya dapat mencapai masa hadapan mampan.
Para menteri yang bersidang juga menyatakan usaha untuk terus mengintegrasikan pengurangan risiko bencana ke dalam asas dasar kewangan dan pembangunan, undang-undang dan rancangan, mentransformasikan mekanisme urus tadbir merentas sektor, sistem, skala dan sempadan. Selain itu, melaksanakan pendekatan sistematik, mengintegrasikan pendekatan dan penyesuaian kepada perubahan iklim yang memasukkan faktor-faktor ESG bagi masa hadapan yang mampan, mempromosikan kebijaksanaan dan ilmu pengetahuan tradisional, setempat dan asli berhubung pengurusan bencana, memastikan pendekatan berasaskan hak asasi manusia dan meningkatkan sokongan bagi penduduk yang paling terdedah serta meningkatkan kerjasama dalam pengurusan risiko bencana melalui kolaborasi ke arah kedayatahanan mampan.
Selaras dengan tema APMCDRR 2022, From Crisis to Resilience: Transforming the Asia-Pacific Region’s Future through Disaster Risk Reduction, para menteri yang bersidang mengenali akan pentingnya untuk mengambil tindakan inovatif dan praktikal untuk mempercepatkan proses pemulihan daripada krisis termasuk COVID.
Pada masa yang sama, membina kedayatahanan dan menggelakkan berlakunya krisis yang serupa pada masa hadapan menerusi mempromosikan pembangunan bermaklumat risiko dalam kesemua dimensinya.
Para menteri yang bersidang menyatakan mereka akan terus melabur dalam kedayatahanan melalui pengukuhan pendidikan dan budaya pengurangan risiko, proaktif serta mengamalkan pendekatan berpandangan ke hadapan dalam pengurusan bencana dan rancangan pengurangan risiko.
Sementara itu, dalam meningkatkan kesiapsiagaan di peringkat serantau dalam bertindak balas kepada bencana, para menteri yang bersidang menyatakan ia adalah menerusi peningkatan kapasiti ASEAN Coordinating Centre for Humanitarian Assistance on Disaster Management (AHA Centre) sebagai enjin utama untuk melaksanakan, One ASEAN, One Response.
Mereka juga mengenali akan pentingnya untuk mempunyai sistem dan infrastruktur kalis kejutan bagi mengurangkan kerosakan disebabkan oleh bencana kepada infrastruktur kritikal dan mengurangkan gangguan kepada perkhidmatan asas termasuk kesihatan, pendidikan dan telekomunikasi apabila bencana melanda serta juga untuk mengurangkan bebanan yang mungkin berlaku semasa fasa pemulihan.
Para menteri yang bersidang juga membayangkan masyarakat yang berdaya tahan menerusi pengurusan risiko bencana berasaskan komuniti dengan memperkasakan masyarakat dalam pengurangan risiko bencana dan memperbaiki keupayaan mereka untuk tahan, urus dan pulih daripada bencana.
Mereka juga mengambil maklum akan pentingnya ilmu pengetahuan, inovasi, teknologi dan sains dalam pengurangan risiko bencana yang merupakan sebahagian daripada prinsip panduan bagi Program Kerja AADMER 2021-2025.
Para menteri yang bersidang menyatakan mereka akan memastikan sebuah pendekatan yang inklusif dalam pengurusan bencana yang tidak akan meninggalkan sesiapa di belakang termasuk wanita, kanak-kanak, belia, warga emas, golongan yang berkelainan upaya, kumpulan terdedah yang lain serta warga utama menerusi ASEAN Regional Framework on Protection, Gender and Inclusion in Disaster Management 2021-2025.
Para menteri yang bersidang juga menyatakan akan terus bekerjasama dengan rakan-rakan kongsi termasuk rakan dialog ASEAN, rakan dialog sektoral, rakan-rakan pembangunan, AADMER Partnership Group, agensi-agensi PBB, gerakan Bulan Sabit Merah dan Palang Merah, organisasi antara kerajaan serantau, organisasi bukan kerajaan, institusi kewangan pelbagai hala, pemikir dan ahli akademik serta sektor dermawan dan swasta, bagi mempertingkatkan pengurangan risiko bencana serantau.
Selaras dengan visi ASEAN untuk menjadi pemimpin global dalam pengurusan bencana, para menteri ASEAN juga menyatakan kesediaan untuk menyumbang kepada usaha global dalam memperkukuhkan pengurangan risiko bencana menerusi perkongsian amalan terbaik, pengalaman dan ilmu pengetahuan ASEAN dalam memperkukuhkan daya tahan bencana dengan komuniti antarabangsa.