Asean perlu bekerjasama pulih ekonomi

Oleh Sim Y.H.
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Mac – Negara-negara anggota ASEAN perlukan kerjasama berterusan dan menyeluruh dalam agenda integrasi Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) bagi memastikan ia pulih daripada pandemik COVID-19 yang belum lagi reda sekali gus meneliti usaha-usaha ke arah matlamat jangka pendek sehinggalah jangka panjang ke arah pemulihan ekonomi ASEAN.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah menekankan perkara itu ketika mempengerusikan Mesyuarat Retreat Menteri-menteri Ekonomi ASEAN ke-27 yang secara rasminya bermula hari ini melalui persidangan video.

Menurutnya, langkah-langkah pemulihan ekonomi rantau ASEAN antara lainnya akan memberikan tumpuan melalui inisiatif-inisiatif mengemas kini langkah-langkah bukan tarif (non-tariffmeasures) dan memudahcarapelaburan, menyediakan pemulihan bagi sektor pelancongan ASEAN dan membuka pasaran baharu serta kerjasama ASEAN melalui pelancaran perundingan kemungkinan perjanjian perdagangan bebas di antara ASEAN dan Kanada.

Ia merupakan tiga daripada 10 teras strategik Hasil Keutamaan Ekonomi yang dicadangkan oleh Negara Brunei Darussalam selaku pengerusi ASEAN bagi tahun 2021 dengan tema We Care, We Prepare, We Prosper, dan akan disahkan dalam mesyuarat retreat dua hari itu.

Selain itu, Yang Berhormat Dato juga menekankan bahawa digitalisasi bagi ASEAN yang berdaya tahan memfokuskan kerja-kerja dalam menyediakan persekitaran e-dagang dan ekosistem digital yang selamat, terjamin dan selaras.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew (tengah) semasa mempengerusikan Mesyuarat Retreat Menteri-menteri Ekonomi ASEAN ke-27 melalui persidangan video.
Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua ketika mempengerusikan mesyuarat tersebut.

Ini termasuk inisiatif-inisiatif seperti perjanjian ASEAN mengenai e-Dagang dan pelan tindakan serantau di dalam bidang cyberspace serta usaha-usaha kedayatahanan ke arah memajukan pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan lestari, melalui inisiatif seperti pemberian sokongan dan bimbingan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), pembangunan rangka kerja serantau bagi Circular Economy dan kerjasama dalam peralihan tenaga lestari.

Mesyuarat tersebut merupakan mesyuarat kali pertama diadakan bagi menteri-menteri ekonomi ASEAN pada tahun 2021 di bawah Pengerusi ASEAN Negara Brunei Darussalam.

Mesyuarat itu dihadiri oleh menteri-menteri ekonomi dari 10 negara-negara anggota ASEAN dan Setiausaha Agung ASEAN Dato Paduka Lim Jock Hoi. Negara Brunei Darussalam diwakili oleh Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.

Turut hadir ialah Setiausaha tetap (Ekonomi), Dr Hajah May Fa’ezah binti Haji Ahmad Ariffin.

Selain itu, mesyuarat juga mebincangkan dan memberi panduan mengenai usaha pemulihan Pasca-COVID-19 di rantau ini termasuk inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan di bawah ASEAN ComprehensiveRecoveryFramework; kemajuan AEC termasuk keutamaan badan-badan sektoral 2021 di bawah bidang kuasa AEM dan Visi Pasca 2025 bagi AEC; hubungan ekonomi luaran ASEAN termasuk perkembangan di dalam meratifikasikan Perjanjian Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP) serta status penyemakan semula ASEAN-IndiaTrade in GoodsAgreement (AITIGA).

Semasa sesi konsultasi bersama ASEAN Business Advisory Council (ASEAN-BAC), yang dipengerusikan oleh Yang Berhormat FDr. Ar. Siti Rozaimeriyanty binti DSLJ Haji Abdul Rahman telah mengambil kesempatan untuk memberi taklimat kepada para Menteri-menteri mengenai keutamaan dan inisiatif ASEAN-BAC bagi tahun 2021.

Antara keutamaan tahun ini adalah projek legasi Harnessing Impactfor Resilient Employability Digitally (HIRED) serta garis tindakan yang akan menyumbang kepada pemulihan ekonomi di rantau ini.