Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OKT – Adalah amat penting untuk memastikan semua anggota komuniti ASEAN terutama golongan yang paling terdedah untuk sama-sama turut serta dalam pelan kesiapsiagaan dan pemulihan bencana.
Di samping itu, penyelesaian jangka panjang untuk memulihkan semula ekonomi tempatan, membina semula sumber pendapatan juga mustahak selain memastikan kesejahteraan berterusan bagi penduduk yang terjejas.
Perkara tersebut ditekankan oleh Pengarah Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kolonel (B) Muhd Harrith Rashidi bin Haji Muhd Jamin dalam ucapannya semasa mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana ASEAN (ACDM) ke-45 dan mesyuarat-mesyuarat yang berkaitan di Empire Brunei, Jerudong, hari ini.
Beliau percaya dengan kerjasama serantau yang teguh, rantau ini akan dapat memanfaatkan kepakaran kolektif, berkongsi amalan terbaik serta menjadikan ASEAN sebagai rantau yang lebih berdaya tahan, di mana setiap individu akan lebih bersatu padu dalam menghadapi bencana dengan yakin serta membina semula dengan baik.
Pada 2024, Negara Brunei Darussalam berbesar hati untuk menjadi Tuan Rumah dan Pengerusi bagi ACDM dan Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN mengenai Pengurusan Bencana (AMMDM) dengan tema, Building a Resilient ASEAN Through Inclusive and Sustainable Disaster Recovery.
Mesyuarat ACDM ke-45 kali kedua tahun ini dihadiri oleh para delegasi ASEAN dari organisasi Pengurusan bencana (NDMO) dari negara-negara anggota ASEAN, Sekretariat ASEAN, Pusat Penyelaras ASEAN untuk Bantuan Kemanusiaan dalam Pengurusan Bencana (Pusat AHA) dan Timor-Leste sebagai negara pemerhati serta rakan dialog ACDM dari Republik Rakyat China, Jepun dan Republik Korea (ROK).
Mesyuarat itu berfungsi sebagai forum untuk bertukar pandangan mengenai isu-isu strategik dan terkini serta membincangkan kemajuan semasa dan status perkembangan beberapa projek, program dan aktiviti di bawah ASEAN Agreement on Disaster Management and Emergency Response (AADMER) 2021-2025 atau AWP 2021-2025 di mana terdapat tiga kumpulan kerja yang menyelia dan melaksanakan projek di bawah AWP 2021-2025 iaitu Kumpulan Kerja ACDM mengenai Pencegahan dan Mitigasi (ACDM WG P&M), Kumpulan Kerja ACDM mengenai Kesiapsiagaan, Tindak Balas dan Pemulihan (ACDM WG PRR) dan Kumpulan Kerja ACDM mengenai Kepimpinan Global (ACDM WG GL) serta membincangkan status kemajuan projek, program dan aktiviti di bawah mekanisme dengan rakan dialog ACDM seperti Jepun, China dan ROK.
Selain itu, beberapa mesyuarat lain turut diadakan seperti Mesyuarat Lembaga Pengelola Pusat AHA (GB-AHA) ke-21, Mesyuarat Platform Ketahanan Bencana ASEAN (ADRP) ke-6, Mesyuarat ACDM Bersama Jepun ke-8, Mesyuarat ACDM Bersama Republik Rakyat China ke-8 dan Mesyuarat ACDM Bersama ROK ke-7.
Semasa Mesyuarat GB-AHA, mesyuarat berkenaan telah membincangkan mengenai status kewangan Pusat AHA, negara penyumbang atau penderma serta beberapa projek dan operasi utama Pusat AHA seperti Pasukan Tindak Balas dan Penilaian Kecemasan ASEAN (ASEAN-ERAT), Gudang Penyimpanan Logistik Kecemasan Bencana ASEAN (DELSA), Program Eksekutif Pusat AHA (ACE).
Manakala Mesyuarat Platform Ketahanan Bencana ASEAN (ADRP) adalah bertujuan untuk menyediakan platform bagi ACDM dan beberapa badan sektoral ASEAN berkaitan projek pengurusan bencana bagi membolehkan kerjasama rentas sektor dari kalangan ASEAN.
Semasa Mesyuarat ACDM bersama rakan dialog ASEAN dari Republik Rakyat China, Jepun dan ROK, mesyuarat-mesyuarat berkenaan membincangkan mengenai pelaksanaan pelan kerja negara-negara rakan dialog bersama ASEAN.
Berikutan ini, AMMDM ke-12 juga akan turut diadakan dan dipengerusikan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.