KUCHING, 15 MEI – Gempa bumi di Myanmar dan Thailand baru-baru ini memberi petunjuk bagi negara anggota ASEAN untuk bekerja lebih keras untuk menubuhkan Badan Penilaian Keakuran yang akan memastikan bahan binaan dihasilkan, diimport dan digunakan adalah selamat, berkualiti tinggi dan mematuhi keperluan antarabangsa.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata dengan termeterainya Perjanjian Pengiktirafan Bersama Bangunan dan Pembinaan (BCMRA) di Kemboja pada 9 Mac tahun lepas, beliau percaya komitmen negara anggota ASEAN akan mengukuhkan lagi usaha bersama dalam menyediakan garis panduan holistik mengenai standard bahan binaan.
“Sehubungan itu, saya mahu mengambil kesempatan ini untuk menggesa semua ahli kumpulan kerja untuk mempercepatkan proses ratifikasi BCMRA untuk kita menubuhkan Jawatankuasa Sektoral Bersama dan melancarkan proses mengiktiraf piawaian itu,” katanya dalam ucapan pada mesyuarat Kumpulan Kerja Bangunan dan Pembinaan ASEAN (BCWG) ke-12 kelmarin.
Mesyuarat BCWG merupakan sebahagian daripada program di bawah Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) Borneo 2025.
Sebagai kumpulan profesional dan pakar yang berdedikasi untuk pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur penting, perbincangan kumpulan kerja adalah penting untuk menyelidiki amalan terbaik, penyelesaian inovatif dan strategi kolaboratif untuk menangani cabaran dan peluang khususnya dalam piawaian bangunan dan bahan binaan dan keseluruhan industri secara keseluruhan, katanya. – Bernama
