Saturday, April 26, 2025
31.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    ASEAN perlu kukuhkan kedayatahanan

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 APRIL – Mesyuarat ke-33 Majlis Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC) telah diadakan pada 23 hingga 24 April di Kuching, Sarawak, Malaysia.

    Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Tuan Yang Terutama Dato’ Sri Tiong King Sing, pengerusi ASCC 2025, di bawah tema ASEAN secara menyeluruh, iaitu Keterangkuman dan Kemampanan.

    Mewakili Negara Brunei Darussalam di mesyuarat berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad selaku Menteri ASCC bagi Negara Brunei Darussalam.

    Dalam kenyataannya, Yang Berhormat Dato, menekankan keperluan bagi ASEAN untuk memperkukuhkan kedayatahanannya, terutama kedayatahanan rakyat, dalam mengambil kira ASEAN terus menghadapi pelbagai cabaran yang bersaling kaitan dan risiko-risiko baru, terutama bagi ekonomi-ekonomi yang terdedah.

    Dalam perkara ini, Yang Berhormat Dato mengalu-alukan kemuktamadan Pelan Strategik ASCC, dan menyarankan agar menumpukan kepada langkah-langkah strategik yang paling berkesan terlebih dahulu, bagi membolehkan penggunaan sumber yang lebih berkesan, termasuk penglibatan pihak berkepentingan yang lebih berdedikasi.

    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan bergambar ramai bersama menteri-menteri ASCC. – GAMBAR SERAHAN KKBS
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi semasa menghadiri mesyuarat berkenaan. – GAMBAR SERAHAN KKBS

    Yang Berhormat Dato juga mengongsikan pandangan mengenai pengukuhan rentas sektor dan rentas tonggak, dan kerjasama daripada rakan kongsi ASCC, untuk menyumbang kepada pelaksanaan Pelan Strategik ASCC yang berkesan.

    Menteri-menteri ASCC telah mengesahkan Pelan Strategik ASCC, dan mengambil maklum bahawa dokumen berkenaan akan dihadapkan kepada High Level Task Force on ASEAN Community’s Post-2025, untuk dihadapkan kepada ketua-ketua negara dan kerajaan ASEAN.

    Para menteri juga membincangkan mengenai pembangunan ASCC Post-2025 Results Framework, yang akan membentuk pelaksanaan yang lebih bermakna bagi Pelan Strategik ASCC dan bertukar-tukar pandangan mengenai hala tuju strategik ASCC dan menggalakkan badan-badan sektoral ASCC untuk mempercepatkan pelaksanaan pelan kerja masing-masing serta mengambil maklum perkembangan ASCC Outcome Documents yang akan dihadapkan kepada ketua-ketua negara dan kerajaan ASEAN bagi pengesahan dan makluman semasa Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 yang akan diadakan pada bulan Mei nanti, iaitu ASEAN Creative Economy Sustainability Framework, ASEAN Declaration on Drug Security and Self-Reliance, dan Checklist on Fair Recruitment and Decent Employment for Migrant Workers.

    Para menteri ASCC juga telah mengadakan perjumpaan bersama Premier Sarawak, TYT Dato Seri Setia Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg, semasa mesyuarat berkenaan.

    Mesyuarat ASCC ke-33, didahului oleh 11th Ad-Hoc Working Group to Develop the ASCC Strategic Plan dan Mesyuarat ke-38 Pegawai Kanan Jawatankuasa Komuniti Sosio-budaya ASEAN (SOCA) yang diadakan pada 21 hingga 23 April lalu.

    Yang Berhormat Dato turut disertai oleh Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari selaku ketua SOCA Negara Brunei Darussalam dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda