Thursday, December 26, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘ASEAN perlu percepat vaksinasi, koridor perjalanan dan ekonomi’

    KUALA LUMPUR, 25 OKT – Presiden Indonesia Joko Widodo, juga dikenali sebagai Jokowi, telah mengetengahkan tiga kunci utama untuk Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) memulakan kembali aktiviti dan mempercepat pemulihan ekonomi selepas pandemik COVID-19.

    Berucap pada Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN 2021 yang diadakan secara maya hari ini, beliau berkata mempercepat vaksinasi COVID-19 adalah kunci pertama kerana penjagaan kesihatan tetap menjadi keutamaan blok dengan 10 anggota itu.

    Dalam jangka pendek, beliau berkata ASEAN harus mencapai sasaran untuk memvaksin 70 peratus daripada 650 juta penduduk rantau itu secepat mungkin.

    “Kerajaan dan perniagaan di rantau ini perlu berusaha dan mengambil tindakan bersama.

    Sementara itu, dalam jangka sederhana, ASEAN perlu menubuhkan protokol krisis kesihatan untuk memastikan bahawa rantau ini lebih berdaya tahan terhadap krisis kesihatan pada masa depan, ” katanya dalam ucaptama beliau.

    Jokowi semasa berucap pada sidang kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN 2021 secara maya. – AP

    Jokowi berkata kunci kedua adalah mengaktifkan semula perjalanan selamat, termasuk pelancongan selamat, berikutan keadaan COVID-19 semakin terkawal.

    Beliau menyebut bahawa Kerangka Penyusunan Koridor Perjalanan ASEAN yang dimulakan oleh Indonesia tahun lalu perlu segera dilaksanakan, manakala perakuan sijil vaksin di rantau ini termasuk keupayaan menyelaraskan satu sistem untuk vaksin juga perlu dipersetujui.

    Penyusunan perjalanan atau Laluan Perjalanan Vaksinasi wilayah harus diwujudkan untuk individu yang telah divaksin dan disahkan sihat atau negatif daripada COVID-19.

    “Sekiranya semua negara ASEAN segera mempermudah pergerakan manusia yang selamat, ekonomi akan kembali pulih,” katanya.

    Beliau menambah Indonesia juga secara beransur-ansur membuka kembali industri pelancongannya, dengan Bali sebagai contoh pelancongan selamat dengan protokol kesihatan yang ketat, selepas 84.8 peratus penduduk pulau itu telah lengkap menerima vaksin COVID-19.

    Jokowi berkata mempercepat penyesuaian aktiviti ekonomi serantau menuju ekonomi digital adalah kunci ketiga kerana ia boleh menjadi penyelesaian paling berkesan dalam menangani halangan pergerakan dan interaksi bersemuka dalam aktiviti ekonomi.

    Sebagai rantau dengan pertumbuhan ekonomi terpantas di dunia, beliau berkata ekonomi digital di ASEAN mempunyai potensi besar. Semasa wabak ini, ekonomi digital berkembang sebanyak AS$100 bilion pada 2020.

    “Ia boleh menjadi batu loncatan untuk kemajuan ekonomi di rantau kita. Indonesia menyokong ASEAN untuk menjadi komuniti yang terhubung secara digital.

    “Ekonomi ASEAN bukan sahaja akan pulih, tetapi juga boleh melonjakkan kemajuan dan berkembang bersama secara adil dan mampan,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda