Tuesday, March 11, 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    ASEAN perlu perkukuh nilai strategik, kedudukan global

    JAKARTA, 10 MAC – ASEAN perlu memperkukuh nilai strategik serta meningkatkan kedudukannya di peringkat global dengan mengutamakan kebergantungan strategik dan daya tahan ekonomi, kata Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam (CPV), To Lam.

    Berucap pada majlis ulang tahun ke-30 keahlian Vietnam dalam ASEAN di Ibu Pejabat ASEAN di Jakarta hari ini, beliau menggariskan lima keutamaan utama, termasuk memperkukuh identiti serantau, mengukuhkan norma tingkah laku serta meningkatkan kerjasama dalam menangani cabaran bersama.

    Beliau menegaskan bahawa ASEAN perlu memastikan kebergantungan strategik dan keupayaan menyesuaikan diri dalam menghadapi cabaran yang semakin berkembang pesat di tengah-tengah persaingan strategik.

    “ASEAN mesti bertindak secara lebih terkoordinasi dan bertanggungjawab, dengan perpaduan dalaman menjadi tunjang utama dalam menangkis tekanan luar serta mengekalkan suara yang bebas dan seimbang di sebalik persaingan kuasa besar yang semakin sengit,” katanya.

    Ini memerlukan konsensus yang lebih kukuh melalui rundingan, dialog serta penjajaran kepentingan negara anggota, selain memupuk semangat komuniti yang kuat dengan setiap negara memainkan peranan proaktif dalam membentuk matlamat, kepentingan, identiti dan nilai bersama, katanya.

    Dari sudut ekonomi, Lam menekankan kepentingan memperkukuh daya tahan ASEAN sebagai hab rantaian bekalan global dan pusat pengeluaran strategik dunia.

    “ASEAN perlu mengadaptasi penyelesaian pembangunan inovatif serta menerajui enjin pertumbuhan baharu dalam bidang seperti inovasi, sains dan teknologi, pendigitalan serta kemajuan tenaga hijau, termasuk memperkasa tenaga kerja berkemahiran tinggi,” katanya.

    Beliau turut menegaskan kepentingan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dengan pembangunan hijau, inklusif dan mampan, di samping menjadikan ASEAN sebagai pusat kemajuan teknologi dengan penemuan saintifik yang dapat diterjemahkan kepada aplikasi praktikal untuk manfaat sosio-ekonomi serantau. – Bernama

    To Lam tiba untuk memperingati ulang tahun ke-30 penyertaan Vietnam dalam Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), di ibu pejabat ASEAN di Jakarta, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda