KUALA LUMPUR, 6 NOV – ASEAN perlu memikirkan semula rantaian bekalan dan mengukuhkan integrasi ekonomi serantau di tengah-tengah persekitaran perdagangan global yang semakin tidak menentu, kata bekas pengarah eksekutif Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik, Tan Sri Dr Rebecca Fatima Sta Maria.
Sta Maria, yang juga Pengarah Institut untuk Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) berkata negara-negara ASEAN perlu bersedia untuk menyesuaikan diri dengan perubahan dinamik perdagangan, yang boleh meningkat atau merosot lagi.
“Kami jangka untuk berada sementara sahaja dalam persekitaran ini. Sebenarnya, kami akan melihat bagaimana ia akan berubah, sama ada ia akan menjadi sedikit baik atau menjadi lebih buruk,” katanya hari ini semasa sesi panel Forum Media ASEAN ke-9 mengenai Dinamik Ekonomi Global dan Impak Keseluruhannya ke atas ASEAN, hari ini.
Walaupun ASEAN berusaha untuk membangunkan rantaian bekalannya selain mengukuhkan integrasi serantau dengan rakan kongsi dialog seperti China, peralihan dalam landskap global kini memerlukan semakan strategi, kata Sta Maria.
Menteri-menteri ekonomi ASEAN telah bertindak pantas dalam menangani cabaran khususnya selepas Donald Trump menjadi Presiden Amerika Syarikat dengan membentuk Pasukan Petugas Geoekonomi ASEAN bagi merangka langkah-langkah seterusnya yang strategik.
“Pasukan petugas ini baru sahaja menyampaikan penemuan kepada menteri-menteri ekonomi dan menteri-menteri asing pada mesyuarat mereka, mesyuarat pertama dalam 20 tahun,” katanya, sambil menambah bahawa ini adalah perkembangan yang penting dalam sidang kemuncak baru-baru ini. – Bernama


