Friday, March 14, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    ASEAN perlu sepakat pulih ekonomi, tangani pandemik

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OGOS – Dalam usaha mengurangkan impak dan pemulihan ekonomi pasca pandemik, negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) dan rakan dialog perlu mencapai kesepakatan dalam tindak balas dan bekerjasama serta berkolaborasi dalam pelbagai bidang.

    Perkongsian maklumat berterusan, belajar daripada situasi dan pengalaman serta amalan terbaik adalah penting bagi ASEAN.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah menekankan perkara itu ketika berucap pada Mesyuarat Menteri-menteri Ekonomi ASEAN ke-52 (AEM) dan mesyuarat berkaitan yang diadakan secara maya dari 24-29 Ogos lalu.

    Menurutnya lagi, keperluan untuk mengadaptasi transformasi digital, mengukuhkan semangat dalam masyarakat dan industri perniagaan serta memperluaskan usaha membina masyarakat kita adalah penting dalam menghadapi impak membinasakan COVID-19.

    Pada mesyuarat itu, Yang Berhormat Dato juga mengongsi langkah-langkah diambil Negara Brunei Darussalam dalam menangani pandemik dan persediaannya menjadi pengerusi Sidang Kemuncak ASEAN dalam 2021.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew ketika menyertai mesyuarat maya AEM ke-52.

    Mesyuarat AEM yang julung kali diadakan sepenuhnya secara maya, dihoskan oleh Vietnam sebagai pengerusi ASEAN 2020.

    Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Ekonomi), Dr Hajah May Fa’ezah binti Haji Ahmad Ariffin dan pegawai-pegawai dari Bahagian Perdagangan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi.

    Pada mesyuarat itu, Yang Berhormat Dato dan menteri-menteri ekonomi ASEAN dan rakan dialog turut menghadiri Mesyuarat Majlis Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) ke-34, Majlis Mesyuarat Pelaburan Kawasan ASEAN ke-23, Mesyuarat AEM ke-52, Mesyuarat Perkongsian Komprehensif Ekonomi Serantau (RCEP) ke-8 dan pelbagai rundingan dengan rakan dialog ASEAN, termasuklah Australia, Kanada, China, Hong Kong, India, Jepun, Korea, New Zealand, Rusia dan Amerika Syarikat.

    Menteri-menteri ekonomi ASEAN turut mengadakan dialog terbuka dengan setiausaha negeri bagi perdagangan antarabangsa United Kingdom.

    Turut dibincangkan ialah Rangka Kerja Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) 2025 dan perkembangan ekonomi di bawah Pengerusi ASEAN, Vietnam. Menteri-menteri juga menyambut baik pelaksanaan Protokol Pertama untuk Meminda Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) yang akan berkuatkuasa pada 20 September 2020.

    Menteri-menteri juga diberi taklimat mengenai ASEAN-BAC Interface, Kesalinghubungan SmartGrowth (SG) dan ASEAN Mentorship for Enterpreneurs Network (AMEN).

    Manakala menyentuh mengenai pandemik COVID-19, para menteri bertukar-tukar pandangan tindak balas dan bidang-bidang kerjasama serta kolaborasi dalam usaha mengurangkan impak dan pemulihan pantas pasca pandemik.

    Mesyuarat juga mengkaji semula kemajuan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) ASEAN dan ekonominya di bawah pelan tindakan bersama.

    Menteri-menteri juga bertukar-tukar pandangan mengenai peluang untuk kerjasama dan kolaborasi dalam menangani pandemik COVID-19.

    Manakala itu, sebagai Negara Penyelaras ASEAN di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Australia-New Zealand (AANZFTA), Yang Berhormat Dato turut memberikan penerangan mengenai Rundingan AEM-CER ke-25 mengenai kemajuan pelaksanaan Perjanjian AANZFTA. Yang Berhormat Dato menekankan pen-tingnya untuk mempertingkatkan rundingan bagi memastikan perjanjian kekal relevan dan menjurus kepada pemulihan pasca pandemik.

    Selain itu, menteri-menteri juga bersepakat menyokong Pelan Tindakan ASEAN+3, Inisiatif Bersama Meningkatkan Kesalinghubungan Ekonomi ASEAN-ROK dalam respons terhadap wabak COVID-19, Pelan Tindakan Pemantapan Ekonomi ASEAN-Jepun serta mengadakan pelbagai perbincangan dengan rakan perniagaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda