KUALA LUMPUR, 23 JUN – ASEAN perlu meningkatkan tekanan ke atas junta Myanmar atau akan berlaku lagi lebih banyak kematian dan penderitaan, kata pakar PBB memberi amaran hari ini, selepas rundingan diplomasi yang lama tertangguh.
Myanmar dilanda pergolakan dengan ekonominya lumpuh sejak rampasan kuasa Februari 2021 yang menyingkirkan pemimpin awam Aung San Suu Kyi.
Usaha 10 negara anggota ASEAN untuk membawa keamanan kepada Myanmar yang juga anggota blok tersebut, telah tertangguh ketika pertempuran terus menerus berlaku.
Tahun lalu, mereka bersetuju pada ‘Konsensus Lima Perkara’, yang menyeru bagi penghentian keganasan dan dialog konstruktif, namun junta tidak mengendahkannya.
Ditanya tentang usaha blok itu, Tom Andrews, Pelapor Khas PBB berkaitan situasi hak asasi kemanusiaan di Myanmar, berkata bahawa ‘sangat jelas dan banyak lagi yang perlu dilakukan’.
“Semakin lama kita menunggu, lambat bertindak, maka semakin ramai yang akan terkorban dan menderita,” katanya.
“Penduduk Myanmar tidak dapat menunggu setahun lagi tanpa ada sebarang tindakan,” tambah Andres, bercakap pada penghujung lawatan ke Malaysia, yang mengecam rampasan kuasa itu.
Menurutnya konsensus lima perkara itu, yang dipersetujui pada mesyuarat di Jakarta pada April 2021, ‘tidak akan bermakna jika ia hanya tertulis pada sekeping kertas’.
“Dengan tindakan bermakna, ia merupakan satu-satunya peluang untuk membuat perbezaan,” ujarnya. – AFP
