PHNOM PENH, 21 MEI – Kerjasama serantau untuk menangani bencana alam di Asia Tenggara yang terdedah kepada pelbagai ancaman kekal penting bagi melindungi kesejahteraan lebih 670 juta penduduk rantau ini.
Pada Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana ASEAN (ACDM) ke-46 yang bermula di Kemboja kelmarin, negara tuan rumah menggesa kerjasama yang lebih erat dalam kalangan negara anggota ASEAN.
“Mesyuarat kali ini menilai kemajuan bersama dan menegaskan semula komitmen ke arah rantau yang lebih kukuh dan berdaya tahan.
“Penglibatan dan sokongan berterusan negara anggota ASEAN amat penting apabila semua pihak bekerjasama bagi memupuk kerjasama tempatan dalam pengurusan bencana,” kata Menteri Kanan Kemboja, Kun Kim, yang juga Naib Presiden Pertama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan, semasa ucapan perasmiannya.
Acara selama empat hari itu berlangsung di wilayah pelancongan Siem Reap.
Asia Tenggara terdedah kepada bencana alam seperti taufan, kemarau, gempa bumi, tanah runtuh, letusan gunung berapi dan banjir musim hujan berikutan kedudukannya secara geografi.
Menurut Pusat Pengurangan Bencana Asia (ADRC), Filipina yang terletak di sepanjang laluan taufan di Pasifik, mengalami purata 20 taufan setiap tahun dan lima daripadanya dikategorikan sebagai pembawa kerosakan.
Di tanah besar Asia Tenggara, negara seperti Laos, Kemboja, Myanmar dan Vietnam terus berdepan bencana alam yang membimbangkan.
Myanmar masih dalam proses pemulihan daripada gempa bumi pada 28 Mac lepas yang meragut lebih 3,700 nyawa.
Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) di Myanmar memberi amaran bahawa lebih setengah juta penduduk di kawasan terjejas akibat gempa bumi sangat memerlukan bantuan.
“Selepas tujuh minggu, kesan gempa bumi 28 Mac di tengah Myanmar terus membangkitkan keperluan kemanusiaan yang ketara, termasuk bantuan segera dan pemulihan awal.
“Ramai keluarga masih berlindung di penempatan sementara atau rumah sewa kerana bimbang tentang keselamatan, termasuk takut untuk pulang ke kediaman yang rosak dan tidak stabil, selain kekurangan penyelesaian tempat tinggal jangka panjang yang mampan,” menurut laporan Myanmar: Tindak Balas Gempa Bumi OCHA bertarikh 17 Mei.
ADRC turut melaporkan bahawa hujan lebat di barat laut Vietnam pada 16 Mei lalu telah mencetuskan tanah runtuh di tapak pembinaan loji janakuasa hidro yang mengorbankan lima orang dan mencederakan empat yang lain. – Bernama
