Friday, January 10, 2025
30 C
Brunei

    Berita Terkini

    ASEAN perlukan perjanjian dagangan lebih mendalam

    KUALA LUMPUR, 9 JAN – Usaha dalam bentuk perjanjian perdagangan yang lebih mendalam dan pembaharuan domestik diperlukan bagi membina daya tahan ekonomi di rantau ASEAN dan Asia Pasifik Timur, terutama ketika berlaku perubahan dan ketidaktentuan secara ekstrem.

    Ahli Ekonomi Kanan Pusat Penyelidikan Ketua Ekonomi Asia Timur dan Pasifik Bank Dunia, Aakash Mohpal berkata ini berikutan konflik akibat krisis geopolitik yang berterusan telah memberi kesan ketara ke atas ekonomi global.

    Beliau berkata ini termasuk gangguan dalam sektor pengangkutan yang menjejaskan perkapalan dengan perjalanan dari ASEAN ke Barat dan sebaliknya yang sebelum ini menggunakan Terusan Suez, kini terpaksa menempuh perjalanan lebih panjang selain menyebabkan peningkatan kos sebanyak 40 peratus.

    “Pada masa sama, kadar pertumbuhan China yang lebih perlahan pula akan memberi kesan ke atas ekonomi negara pesat membangun lain, termasuk ASEAN yang akan turut menjadi perlahan.

    “Ketidaktentuan dasar di seluruh dunia, (seperti) peningkatan langkah herotan perdagangan dalam bentuk subsidi dan tarif lain, turut memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi,” katanya dalam sesi panel Tinjauan Ekonomi Bank Dunia bagi ASEAN di acara Persidangan Pemimpin Pemikir Ekonomi ASEAN : Tinjauan bagi 2025 di sini, hari ini.

    Menjelaskan selanjutnya, Aakash juga optimis terhadap kemampuan ASEAN untuk melakukan lebih baik daripada rakan blok dalam meneruskan pembaharuan struktur lebih mendalam, meneroka pasaran baharu serta peluang bagi perdagangan yang melangkaui pasaran tradisional dan menyamai pempelbagaian China.

    Beliau turut menekan keperluan meningkatkan produktiviti, terutama seiring kepesatan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) selain menangani pertumbuhan gaji tanpa peningkatan produktiviti di negara seperti Malaysia dan Filipina. – Bernama

    Bendera negara ASEAN dipasang berhampiran bangunan Penang Sentral menandakan permulaan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda