KUALA LUMPUR, 24 SEPT – ASEAN telah menjadi rakan dagang kedua terbesar Korea Selatan selepas China dengan hubungan perdagangan dan pelaburan yang semakin meningkat, menandakan kepentingan perkumpulan itu kepada negara tersebut dalam tempoh beberapa tahun ini.
Menteri Perdagangan Korea Selatan, Yeo Han-Koo berkata peningkatan ini dicapai melalui perjanjian perdagangan bebas (FTA) dan perjanjian dua hala dengan negara anggota dan melalui Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).
“Korea Selatan kini sedang membincangkan proses pindaan FTA dengan rakan dialog dan merundingkan perdagangan dua hala dengan beberapa negara anggota ASEAN,” katanya semasa perundingan ASEAN-ROK ke-22 pada hari ketiga mesyuarat Menteri-menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57, hari ini.
Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata ASEAN dan rakan dialog Korea Selatan sedang menimbang inisiatif untuk mengukuhkan lagi hubungan perdagangan dan pelaburan. – Bernama


