KUALA LUMPUR, 15 JULAI – ASEAN dan Rakan Dialognya mengulangi komitmen untuk memperkukuh kerjasama serantau dalam tindakan iklim, kelestarian alam sekitar dan daya tahan terhadap bencana, selaras dengan tema Pengerusi ASEAN 2025 Malaysia iaitu ‘Keterangkuman dan Kemampanan.’
Komitmen itu dinyatakan dalam Kenyataan Pengerusi ASEAN yang dikeluarkan susulan Mesyuarat Pasca Persidangan Menteri-menteri Luar (PMC) 10+1 bersama Rakan Dialog yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 10 dan 11 Julai 2025.
ASEAN menyambut baik sokongan berterusan Rakan Dialog dalam memajukan usaha serantau berkaitan tindakan iklim dan kelestarian alam sekitar yang kekal sebagai antara isu paling mendesak di rantau ini.
Mesyuarat berkenaan turut menekankan kerjasama yang lebih erat dalam pelbagai bidang utama seperti pertumbuhan hijau, pencemaran jerebu rentas sempadan, pencemaran marin, perubahan iklim, pemuliharaan biodiversiti, pengurusan sumber air, pengurusan sisa, pendidikan alam sekitar, penggunaan dan pengeluaran lestari serta pembangunan bandar mampan.
ASEAN turut menggalakkan kerjasama melalui pusat-pusat kecemerlangannya, termasuk Pusat Perubahan Iklim ASEAN (ACCC), Pusat Penyelaras ASEAN bagi Kawalan Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (ACCTHPC), Pusat ASEAN bagi Biodiversiti (ACB), Pusat Kajian dan Dialog Pembangunan Mampan ASEAN (ACSDSD) serta Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC), bagi menyokong kerjasama serantau dan mempromosikan pembangunan mampan.
Memandangkan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap bencana alam seperti gempa bumi, taufan dan banjir, ASEAN turut menekankan keperluan memperkukuh kerjasama pengurusan bencana bersama Rakan Dialog.
ASEAN menghargai sokongan berterusan terhadap Pelan Kerja AADMER 2021–2025, khususnya dalam memperkukuh keupayaan Pusat Bantuan Kemanusiaan ASEAN bagi Pengurusan Bencana (AHA Centre) dan mekanisme tindak balas kecemasan serantau. – Bernama
