JAKARTA, 9 FEB – Negara-negara ASEAN menyasarkan untuk memuktamadkan rundingan bagi Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) yang dinaik taraf menjelang 2025, susulan mesyuarat menteri secara maya Jumaat lepas.
Para menteri membincangkan isu-isu utama yang masih tertangguh serta memberikan panduan kepada ATIGA Upgrade Trade Negotiating Committee, dengan menekankan kepentingan menamatkan rundingan mengikut garis masa yang dipersetujui.
Menurut Sekretariat ASEAN, perjanjian yang dinaik taraf itu dijangka lebih moden dan komprehensif, merangkumi isu-isu perdagangan tradisional serta baharu yang penting bagi komuniti perniagaan di rantau ini.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata bahawa mesyuarat itu memberi tumpuan kepada pembaharuan ATIGA bagi merangsang pertumbuhan ekonomi serta memperluaskan akses pasaran untuk peniaga tempatan.
“ATIGA menghapuskan atau mengurangkan tarif dan halangan perdagangan antara negara-negara ASEAN, menjadikan aktiviti import dan eksport lebih murah serta mudah,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Timbalan Menteri Perdagangan Indonesia, Dyah Roro Esti, dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa 10 daripada 17 bab baharu dalam menaik taraf ATIGA dipersetujui, dengan rundingan kini mencapai 89 peratus kemajuan.
“Indonesia menyokong semua cadangan penyelesaian bagi mempercepatkan rundingan serta mencadangkan liberalisasi mandatori untuk negara ASEAN yang masih belum memenuhi komitmen purata ATIGA,” katanya.
Hasil utama mesyuarat itu ialah keputusan untuk mengekalkan pengaturan khas untuk beras dan gula sebagai komoditi makanan strategik dalam ASEAN, memastikan kawal selia ke atas kedua-dua produk itu dalam perjanjian ATIGA yang dinaik taraf.
Langkah itu selaras dengan dasar domestik serta berfungsi sebagai mekanisme kawalan bagi menstabilkan harga beras dan gula di Indonesia, katanya. – Bernama
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/P11-1A-Envato_10022025.jpg)