Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    ASEAN sedia tingkat pertumbuhan ekonomi

    MANILA, 30 April – Negara anggota ASEAN mengiktiraf keperluan bagi perkumpulan serantau itu bersedia dan dapat memaksimumkan peluang daripada Revolusi Perindustrian Keempat untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi di rantau ini.

    Dalam Kenyataan Pengerusi yang dikeluarkan pada akhir Sidang Kemuncak ASEAN ke-30 pada Sabtu, ASEAN turut menegaskan keperluan untuk menggalakkan pembangunan ekonomi yang inklusif dan saksama.

    Perkumpulan 10 negara anggota itu menyambut baik tema, “Pertumbuhan diterajui Inovasi, Inklusif,” bagi Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) di bawah Filipina sebagai Pengerusi ASEAN.

    Manila bersedia untuk melaksanakannya melalui tiga langkah strategik, iaitu meningkatkan perdagangan dan pelaburan, menyepadukan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME) dalam Ekonomi Digital, dan membangunkan ekonomi yang dipacu inovasi.

    “Mengambil pengajaran daripada Brexit, kami menekankan manfaat daripada pembangunan komuniti ASEAN yang perlu dirasai oleh rakyatnya,” menurut kenyataan 124 perkara itu.

    Mengenai perkembangan lain, katanya para pemimpin mengalu-alukan kemajuan yang dicapai dalam rundingan Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

    “Kami menekankan persekitaran ekonomi yang lembap dan trend terhadap dasar perlindungan yang meningkatkan keperluan untuk mencapai Perjanjian RCEP yang moden, menyeluruh, berkualiti tinggi dan saling memberi manfaat, dan mempunyai potensi untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi global, meningkatkan integrasi ekonomi serantau dan memudahkan pembangunan ekonomi yang saksama bagi semua negara yang menyertai RCEP,” menurut kenyataan 25 muka surat itu.

    Para pemimpin berkata mereka telah mengarahkan menteri dan perunding untuk menggandakan usaha membina momentum kukuh yang dicapai setakat ini dan mengulangi gesaan mereka untuk mendukung konsep Kepusatan ASEAN dalam mencari resolusi bagi isu-isu yang tertangguh. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda