KUALA LUMPUR, 25 MEI – Menteri-menteri Luar ASEAN hari ini mengulangi sokongan jitu terhadap usaha Timor-Leste menjadi anggota penuh blok serantau itu, sambil mengiktiraf kemajuan ketara negara tersebut dalam melaksanakan Pelan Tindakan ASEAN.
Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata perkembangan itu merupakan antara sorotan utama Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN (AMM) yang diadakan di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Kuala Lumpur, yang turut meluluskan cadangan penubuhan Pasukan Petugas Khas bagi Timor-Leste.
Bagaimanapun, beliau menekankan bahawa Timor-Leste perlu terus berusaha untuk memenuhi semua syarat dan mematuhi instrumen perundangan ASEAN, sambil menyatakan harapan agar keanggotaan penuh negara itu dapat dimuktamadkan semasa Sidang Kemuncak ASEAN bersama Rakan Dialog pada penghujung Oktober ini.
“Berhubung perkara ini (penubuhan Pasukan Petugas Khas bagi Timor-Leste), seperti dinyatakan oleh Setiausaha Agung ASEAN, sebuah Unit Timor-Leste telah pun ditubuhkan bagi membantu negara itu memenuhi syarat dalam Pelan Tindakan, termasuk berkaitan penyertaan ke dalam instrumen perundangan ASEAN,” katanya.
“Kita mengiktiraf kemajuan bermakna yang dicapai oleh Timor-Leste dalam melaksanakan Pelan Tindakan, sebagaimana dinyatakan dalam Laporan Kemajuan,” tambahnya dalam sidang media hari ini.

Terdahulu, Mohamad mempengerusikan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Mohamad menegaskan bahawa Timor-Leste perlu menggandakan usaha bagi memenuhi semua keperluan undang-undang untuk membolehkan penyertaan penuh dalam ASEAN, khususnya yang melibatkan teras Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC).
“Masih banyak instrumen undang-undang yang perlu dipenuhi, terutamanya dalam sektor ekonomi – sekitar 66 instrumen. Jadi kenapa tidak kita terima dahulu, kemudian beri tempoh beberapa tahun untuk mereka penuhi syarat tersebut?” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata pendekatan itu sejajar dengan tema ASEAN tahun ini, iaitu keterangkuman dan kemampanan.
“Kita mesti inklusif, Timor-Leste sewajarnya dijadikan sebagai anggota penuh ASEAN,” tambahnya.
Mohamad berkata mesyuarat hari ini juga menggesa Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN (SOM) meneruskan perbincangan untuk merangka garis panduan yang diperlukan bagi memudahkan akses undang-undang Timor-Leste serta penyertaan penuhnya dalam institusi ASEAN. – Bernama