Friday, February 14, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    ASEAN terus berkembang, stabil

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OGOS – Dalam meraikan ulang tahun ke-56 pada tahun ini, ASEAN sememangnya kaya dengan sejarah dan merekodkan banyak pencapaian dalam lima dekad kebelakangan ini.

    Sehubungan itu, ASEAN telah mencatatkan perkembangan signifikan untuk memastikan rantau ini kekal aman, stabil dan selamat, dengan pertumbuhan ekonomi yang stabil dan hubungan sosiobudaya yang kukuh.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, menekankan perkara itu dalam titah perutusan tahniah sempena ASEAN Day pada hari ini.

    “Dengan sokongan yang padu daripada rakan-rakan kongsi luar bagi usaha pembangunan Komuniti ASEAN, rantau kita telah berkembang dalam bidang-bidang seperti pendidikan, kesihatan dan teknologi,” tambah Baginda.

    Dalam titah perutusan itu juga, Baginda menyatakan ASEAN juga telah mengesahkan semula centrality dan perpaduan dalam membentuk architecture serantau yang berubah sebagai sebuah platform bagi negara-negara anggotanya dan rakan-rakan kongsi untuk bekerjasama dan mempunyai konsultasi serta dialog konstruktif menerusi mekanisme seperti East Asia Summit dan ASEAN Regional Forum.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah semasa berkenan bergambar ramai dengan pemimpin-pemimpin negara ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN di Labuan Bajo, Indonesia baru-baru ini. – Gambar fail Infofoto

    Baginda Sultan juga menyatakan kesejahteraan penduduk ASEAN terus diutamakan dalam usaha ke arah merealisasikan Visi Komuniti ASEAN 2025.

    “Oleh itu, adalah mustahak bagi kita membina sebuah komuniti yang bermakna bagi penduduk kita, di mana mereka bersedia bagi cabaran-cabaran di hadapan, berupaya untuk menangani dan paling penting, mendapat manfaat daripada peluang-peluang yang terdapat pada masa hadapan.”

    Baginda Sultan turut menekankan adalah juga mustahak bahawa aspirasi berkenaan membimbing usaha mereka dalam merangka Visi Komuniti ASEAN Pasca-2025, sambil kita berusaha untuk menjadi sebuah persatuan yang lebih inklusif, adaptif, responsif dan berpandangan ke hadapan.

    Dalam hubungan itu, Negara Brunei Darussalam memuji usaha Indonesia selaku Pengerusi ASEAN pada 2023 di bawah tema, ASEAN Matters: Epicentrum of Growth.

    “Kita akan terus bekerja rapat dan dengan konsensus, dengan semua negara anggota ASEAN serta juga dengan rakan-rakan kongsi pembangunan, sektoral dan dialog untuk mencapai matlamat bersama kita bagi keamanan, kestabilan dan kemakmuran serta ke arah sebuah Komuniti ASEAN yang berasaskan peraturan, berorientasi warganya dan berpusat warganya.

    “Salam sejahtera Beta ucapkan kepada semua penduduk ASEAN dan kepada masa hadapan di mana penduduk dan rantau kita akan terus makmur,” titah Baginda mengakhiri titah perutusan tersebut.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda