Ahad, 23 November 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘ASEAN tidak boleh jadi proksi negara lain’

    JAKARTA, 14 JULAI – Presiden Indonesia, Joko Widodo berkata hari ini ASEAN tidak boleh menjadi proksi kepada negara lain, apabila ketegangan Amerika Syarikat (AS)-China meningkat berhubung isu di rantau Asia Pasifik.

    Menteri-menteri luar dari blok Asia Tenggara telah berkumpul di Jakarta untuk perbincangan mengenai isu-isu serantau, daripada Laut China Selatan yang dipertikaikan, yang dituntut hampir keseluruhannya oleh Beijing, hingga krisis di Myanmar, di mana China adalah sekutu utama junta pemerintah.

    Perselisihan pendapat mengenai laluan air telah menyebabkan beberapa ahli Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) menentang Beijing dan meningkatkan simpati terhadap penentangan AS.

    “ASEAN tidak boleh menjadi persaingan, ia tidak boleh menjadi proksi mana-mana negara dan undang-undang antarabangsa harus dihormati secara konsisten,” beritahu Widodo kepada para menteri.

    “Kami di ASEAN komited untuk mengukuhkan perpaduan dan keutuhan serta ASEAN sebagai pusat untuk menjaga keamanan dan kestabilan di rantau ini.”

    Ketegangan antara dua ekonomi terbesar dunia telah meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini disebabkan pelbagai isu, termasuk latihan laut China di sekitar Taiwan dan pelaksanaan sekatan eksport AS ke atas semikonduktor.

    ASEAN tidak bersepakat mengenai krisis Myanmar dan cara-cara untuk melibatkan diri dengan junta sejak rampasan kuasa 2021 telah menjerumuskan negara itu ke dalam pergolakan teruk.

    Blok itu mengeluarkan kenyataan semalam yang mengecam keganasan. Ia menekankan pelan damai lima perkara yang dipersetujui dengan junta, tetapi sebahagian besarnya diabaikan sejak itu, yang mesti kekal sebagai asas untuk menyelesaikan konflik. – AFP

    Presiden Joko Widodo menyampaikan ucapan kepada menteri-menteri Mesyuarat Menteri Luar ASEAN di Jakarta, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda