Saturday, March 22, 2025
23.9 C
Brunei
  • Rileks Jap

Berita Terkini

ASEAN tingkat usaha perteguh keselamatan siber

KUALA LUMPUR – Seiring dengan perkembangan pesat teknologi digital yang kini memainkan peranan kritikal dalam kehidupan harian masyarakat global, risiko ancaman siber juga semakin meningkat dan bertambah kompleks.  

Isu keselamatan siber seperti penggodaman dan penipuan dalam talian kian canggih, menyukarkan pihak berkuasa untuk menangani. Ditambah pula jenayah ini lazimnya merentas sempadan dan memerlukan kerjasama pelbagai pihak luar. 

Mutakhir ini, serangan siber dilihat menyasarkan aset-aset kritikal sesebuah negara seperti infrastruktur kerajaan, institusi kewangan serta perniagaan, membawa cabaran yang bukan calang-calang untuk diatasi.

Dalam konteks ini, ASEAN hadir sebagai sebuah perkumpulan yang jitu dengan memperkukuh kerjasama serantau bagi melindungi kepentingan setiap negara anggota dan juga wilayah itu secara amnya.    

 

ANCAMAN DUNIA SIBER TANPA SEMPADAN 

Menurut Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN di Jakarta, Indonesia Datin Sarah Al Bakri Devadason, ancaman siber adalah antara cabaran utama yang dihadapi oleh negara ASEAN pada masa ini, meliputi jenayah seperti penipuan dalam talian dan juga serangan penggodam ke atas infrastruktur kerajaan.

“Kita sebenarnya sangat terdedah dalam dunia masa kini yang dipacu oleh teknologi canggih. Memahami ancaman siber membolehkan kita meningkatkan keupayaan keselamatan siber dan mengatasi kelemahan yang ada.

“Kita tengok institusi kewangan misalnya, semakin kerap kita dengar kes wang disedut keluar, iaitu satu bentuk pencerobohan terhadap kaedah keselamatan perbankan,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama di luar Persidangan Serantau Institut ASEAN mengenai Keamanan dan Perdamaian (ASEAN-IPR) tentang Keselamatan Siber dan Peranan Teknologi Maklumat dalam Memupuk Budaya Keamanan di ASEAN, di Bangkok, Thailand, baru-baru ini.

Persidangan selama tiga hari yang berlangsung mulai 24 Feb itu, dianjurkan oleh ASEAN-IPR dengan sokongan Dana Kerjasama ASEAN-Korea (AKCF), bertujuan mengupas pelbagai isu berkaitan keselamatan siber.  

Mengulas lanjut, Sarah berkata cabaran tersebut mengetengahkan keperluan kepada langkah-langkah keselamatan siber yang utuh, terutamanya ketika ASEAN berusaha memperkukuh kestabilan politik dan integrasi sosial dalam dunia yang kini bergerak tanpa sempadan.

“Kerjasama siber sudahpun wujud. Namun, dengan evolusi teknologi yang semakin canggih serta kaitannya dengan keselamatan dan ancaman siber, keperluan kepada kerjasama siber itu menjadi lebih mendesak,” katanya, menambah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Menentang Jenayah Siber yang baru diterima guna, adalah satu langkah ke depan dalam menangani ancaman siber di peringkat global. 

 

TINGKATKAN KERJASAMA ASEAN

Sarah berkata ASEAN melaksanakan usaha bersepadu menerusi pelbagai inisiatif, antaranya Visi Komuniti ASEAN 2045 yang meliputi tonggak utama komuniti – politik, keselamatan, ekonomi, sosial dan budaya.

“Kita juga ada Pelan Strategik Kesalinghubungan ASEAN. Kesemua usaha ini saling melengkapi kerana keselamatan siber memberi impak kepada semua bidang berkenaan. Keupayaan siber juga memainkan peranan dalam kesalinghubungan ASEAN,” katanya.

Menurut beliau lagi, ASEAN turut bekerjasama rapat dengan 11 rakan dialog  berdasarkan pelan tindakan yang telah diwujudkan.

“Dengan rakan dialog Kesatuan Eropah misalnya, kita belajar daripada mereka dan berkongsi pengalaman kita. Di samping itu, kita juga melibatkan kumpulan pemikir, misalnya menerusi seminar dan bengkel di Korea,” jelasnya.

Pada masa sama, beliau turut menekankan kepentingan perkongsian maklumat dalam kalangan negara anggota bagi memperkukuh rangka kerja keselamatan siber.

Dari segi kerjasama pula, beliau berkata ASEAN tidak hanya melibatkan kerjasama antara kerajaan tetapi juga dengan sektor swasta, seperti kolaborasi yang sedang berlangsung dengan Google berhubung literasi digital dan kecerdasan buatan (AI).  

“Semakin banyak kita tahu dan semakin kita memperkasakan rakyat kita, semakin teguh kita dalam menangani cabaran siber. Kerjasama kita dengan sektor awam dan swasta seperti Google, adalah antara contoh inisiatif untuk memperkasakan masyarakat,” katanya.

Selain itu, Sarah berkata ASEAN juga sedang membangunkan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital yang akan membolehkan perkumpulan tersebut berkongsi pengalamannya serta menyumbang kepada tindak balas global terhadap ekonomi dan transformasi digital.

 

MEMUPUK LITERASI DIGITAL

Mengulas persidangan keselamatan siber ASEAN yang pertama seumpamanya itu, Sarah berkata persidangan tersebut menyediakan peluang kepada mereka yang berkenaan untuk berbincang dari pelbagai perspektif dan memastikan hasilnya dapat disalurkan kepada penggubal dasar dalam usaha mewujudkan dunia siber yang lebih selamat. 

“Orang awam, komuniti, wanita dan kanak-kanak, kesemuanya adalah golongan penting. Jika kita tidak dapat pastikan keselamatan mereka semasa berada di alam siber, maka akan timbul implikasi jangka panjang. 

“Justeru, ketika kita mempromosikan literasi digital, ada keperluan untuk pastikan dunia digital itu selamat untuk semua orang,” katanya.

Tambah beliau lagi, persidangan itu juga mencari kaedah bagi memastikan golongan belia dilengkapi ilmu untuk mendepani cabaran yang dibawa oleh kemajuan teknologi maklumat. – Bernama

- Advertisment -

Berita Berkaitan

Disyorkan Untuk Awda