Saturday, January 18, 2025
30.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    ASEAN tumpuan ekonomi, sosial

    JAKARTA, INDONESIA, 5 SEPT – ASEAN berada dalam kedudukan yang baik untuk pertumbuhan berterusan dan dijangka akan berkembang sebanyak 4.6 peratus pada tahun 2023, melebihi jangkaan global sebanyak 3 peratus.

    Walau bagaimanapun, ketegangan geopolitik yang kian meningkat menimbulkan risiko kepada pemulihan ekonomi.

    Oleh itu, ASEAN harus meneruskan tumpuan dalam memperkukuhkan kerjasama untuk menjadikan ASEAN sebagai pusat perkembangan ekonomi dan pembangunan sosial.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, menekankan perkara tersebut semasa berkenan mengurniakan titah pada Majlis Pembukaan dan Sesi Pleno Sidang Kemuncak ASEAN ke-43, yang berlangsung di Pusat Konvensyen Jakarta, Indonesia.

    Dalam mencapai agenda tersebut, Baginda menggariskan kepentingan menyokong idea-idea baharu yang dapat menyumbang ke arah peningkatan daya saing dan kedayatahanan
    serantau bagi jangka masa yang panjang.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah semasa berkenan mengurniakan titah pada Sesi Pleno Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 di Jakarta, Indonesia. – Gambar oleh Infofoto
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan bergambar ramai bersama TYT Joko Widodo dan isteri pada Majlis Pembukaan dan Sesi Pleno Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 di Pusat Konvensyen Jakarta. Berangkat sama, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen. – Gambar oleh Infofoto
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menghadiri Majlis Pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 bersama pemimpin-pemimpin ASEAN lain. Berangkat sama, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen. – Gambar oleh Infofoto
    TYT Joko Widodo menyampaikan ASEAN Prize kepada Haji Muhammad Iqbal Fakhri atas kepimpinan aktif beliau dalam gerakan belia dan kesukarelawanan. – Gambar oleh Infofoto
    Antara persembahan yang memeriahkan Majlis Pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-43. – Gambar oleh Infofoto

    Meskipun berhadapan dengan cabaran-cabaran berikutan pandemik COVID-19, menurut Baginda, ASEAN terus memanfaatkan kemajuan dalam Revolusi Industri Keempat.

    Dalam hal ini, Baginda mengalu-alukan cadangan untuk menubuhkan Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN yang akan menyediakan asas kukuh bagi ekonomi digital ASEAN yang selamat dan saling berhubung sekali gus membukakan peluang dan meningkatkan keyakinan di rantau ini.

    Menyentuh mengenai perubahan iklim, Baginda menegaskan ianya kekal menjadi cabaran global yang memerlukan tindakan bersepadu, di mana kebakaran hutan yang dahsyat, jerebu dan cuaca ekstrem telah mengakibatkan kerugian ekonomi dan kewangan yang besar.

    Oleh itu, Baginda menzahirkan kegembiraan atas pemeteraian Persetujuan Penubuhan Pusat Perubahan Iklim ASEAN yang akan berpusat di Bandar Seri Begawan dan seterusnya menyatakan penghargaan kepada rakan-rakan ASEAN di atas sokongan mereka.

    Pusat Perubahan Iklim ASEAN itu bukan sahaja akan menampilkan teknologi terbaru malah ianya juga akan membentuk strategi ke arah mengurangkan pengeluaran gas hijau, melalui analisa penyelidikan dan pendekatan inovatif.

    Ianya juga dijangka akan merumuskan cadangan-cadangan dasar untuk memastikan kedayatahanan rantau ini dalam menangani perubahan iklim.

    Terdahulu, keberangkatan tiba Baginda ke Majlis Pembukaan dan Sesi Pleno Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 telah dialu-alukan oleh Presiden Indonesia, Tuan Yang Terutama Joko Widodo dan isteri, Hajah Iriana Widodo.

    Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

    Majlis Pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-43

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia mula-mula berangkat ke Majlis Pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-43, yang turut dihadiri oleh ketua-ketua negara dan kerajaan ASEAN, Republik Demokratik Timor-Leste, Republik Rakyat Bangladesh dan Kepulauan Cook.

    Majlis dimulakan dengan lagu tema ASEAN, The ASEAN Way, diikuti dengan ucapan pembukaan daripada TYT Presiden Republik Indonesia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini, di mana Tuan Yang Terutama mengalu-alukan kehadiran para pemimpin dan delegasi bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 dan Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan di Jakarta.

    Majlis Penyampaian ASEAN Prize juga diadakan, yang mana Haji Muhammad Iqbal Fakhri bin Haji Damit dari Brunei Darussalam telah dianugerahkan ASEAN Prize 2022 atas kepimpinan aktif beliau dalam gerakan belia dan kesukarelawanan khususnya memberikan bantuan kepada orang-orang kehilangan tempat tinggal, sekali gus menjiwai semangat
    Komuniti ASEAN yang berorientasikan rakyat dan berdaya tahan.

    Manakala, Nguyen Thi Tuyet Minh dari Republik Sosialis Vietnam, iaitu penerima ASEAN Prize 2023, juga dianugerahkan ASEAN Prize.

    Semasa majlis tersebut, Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Kawalan Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan telah dilancarkan diikuti dengan sebuah tayangan video mengenai pusat berkenaan.

    Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke sidang-sidang kemuncak ASEAN di Jakarta tahun ini juga menunjukkan keakraban Baginda bersama para pemimpin lainnya.

    Ianya juga merupakan peluang bagi meneruskan perbincangan bagi meningkatkan
    usaha-usaha komuniti ASEAN, serta kerjasama bersama rakan-rakan dialog ASEAN.

    Sesi Pleno Sidang Kemuncak ASEAN ke-43

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya berangkat bersama para pemimpin ASEAN lainnya dan Timor-Leste bagi menghadiri Sesi Pleno Sidang Kemuncak ASEAN ke-43.

    Pada sesi pleno ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan titah di mana Baginda mengalu-alukan kehadiran Perdana Menteri Kerajaan Kemboja, TYT Hun Manet dan Perdana Menteri Timor-Leste, TYT Kay Rala Xanana Gusmao ke sidang kemuncak tersebut.

    Pada mengakhiri titah, Baginda menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Laos, TYT Sonexay Siphandone, yang mana negara tersebut akan menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun 2024 dan seterusnya menyampaikan penghargaan kepada TYT Joko Widodo selaku Pengerusi ASEAN terhadap usaha-usaha beliau di sepanjang tahun ini.

    TYT Presiden Republik Indonesia dalam ucaptamanya juga antara lain menekankan kepentingan ASEAN bagi memelihara perpaduan dan centrality dalam memastikan rantau ini kekal aman dan stabil.

    Sesi pleno tersebut juga telah memberikan peluang kepada pihak Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia untuk memben-tangkan perkembangan ekonomi global.

    Para pemimpin menekankan perlunya ASEAN menjadi lebih adaptif, responsif dan berpandangan jauh agar dapat menjangkakan peluang-peluang dan menangani cabaran-cabaran di masa akan datang agar ASEAN terus menjadi pusat pertumbuhan ekonomi.

    Pada penghujung sidang tersebut, Kerukunan IV ASEAN, Deklarasi Pemimpin ASEAN berkaitan Dialog Hak Asasi Kemanusiaan ASEAN, Deklarasi Pemimpin ASEAN sebagai Pusat Pertumbuhan, Deklarasi

    ASEAN terhadap Memperkukuhkan Ketakdayaan Pembangu-nan Inklusif bagi Komuniti
    ASEAN yang Mapan dan Makmur, Deklarasi Pemimpin ASEAN ke atas Memperkukuhkan Sekuriti dan Nutrisi Makanan dalam Respons pada Krisis, Kenyataan Pemimpin ASEAN ke atas Pembangunan Persetujuan Rangka Kerja Ekonomi Digital, Deklarasi ASEAN berkaitan Penjagaan Awal dan Pendidikan Kanak-kanak di Asia Tenggara, Deklarasi ASEAN ke atas Kesaksamaan Jantina dan Pembangunan Keluarga, Deklarasi ASEAN ke atas Berdaya Mapan, Kenyataan Bersama ASEAN berkaitan Perubahan Iklim pada Sesi Persidangan ke-28 Parti-parti Persidangan Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC COP-28) dan Rangka Kerja Ekonomi Biru ASEAN telah diluluskan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda