Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    ASEAN, UK meterai perjanjian rakan dialog

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OGOS – ASEAN dan United Kingdom (UK) telah memformalkan perjanjian penting untuk meningkatkan status hubungan ASEAN dan UK sebagai rakan dialog, membuka jalan untuk lebih banyak kerjasama antara rantau ini dan UK dalam pelbagai isu seperti perdagangan, pelaburan, perubahan iklim, persekitaran, sains dan teknologi serta dan pendidikan hari ini.

    Surat perjanjian ditandatangani oleh Setiausaha Agung ASEAN, Dato Paduka Lim Jock Hoi yang ditujukan kepada Setiausaha Luar Negara, Hal Ehwal Komanwel dan Hal Ehwal Pembangunan yang juga Setiausaha Pertama UK, Tuan Yang Terutama Dominic Raab bagi menyampaikan keputusan Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN (AMM) ke-54 yang diadakan pada 2 Ogos untuk memberikan UK status Rakan Dialog ASEAN melalui persidangan video yang turut dihadiri menteri-menteri luar negara ASEAN.

    Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof dalam ucapannya sebagai ketua mesyuarat itu mengatakan UK mempunyai hubungan dan kerjasama lama dengan negara-negara ASEAN secara dua hala dan juga serantau, selama beberapa dekad.

    “Namun, sebagai rakan dialog, ada potensi besar untuk UK mengubah komitmen kuat ini menjadi kerjasama nyata dengan ASEAN secara keseluruhan dalam ketiga-tiga komuniti keselamatan politik, ekonomi dan sosio budaya kita,” tambahnya beliau.

    “Sebagai permulaan, ASEAN dan UK dapat menerokai bidang dan peluang baharu dalam memanfaatkan pengalaman dan kepakarannya, sehingga mereka dapat memberikan sumbangan terhadap proses pembangunan masyarakat ASEAN,” ujar Yang Berhormat Dato.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua semasa menghadiri majlis tersebut secara maya.
    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua dan TYT John Virgoe bergambar bersama selepas majlis penandatanganan tersebut.

    TYT Dominic Raab dalam ucapannya berkata, “Saya gembira UK hari ini, secara rasmi menjadi Rakan Dialog dari blok ASEAN, negara baharu pertama dalam 25 tahun.

    “Ini adalah detik penting dalam kecenderungan UK terhadap Indo Pasifik. Hubungan erat kami dengan ASEAN akan membantu mewujudkan pekerjaan hijau, memperkuat kerjasama keselamatan, mempromosikan perkongsian teknologi dan sains dan melindungi tonggak utama undang-undang antarabangsa seperti Konvensyen PBB mengenai undang-undang laut,” tambahnya.

    Rakan Dialog ASEAN yang lain ialah Australia, Kanada, China, Kesatuan Eropah, India, Jepun, Republik Korea, New Zealand, Rusia dan Amerika Syarikat. TYT Dominic Raab juga mengongsikan bahawa perjanjian baharu itu juga akan membantu UK mempererat hubungan ekonomi dengan ASEAN, yang mempunyai gabungan KDNK sebanyak $3.2 trilion.

    “Jumlah perdagangan antara UK dan ASEAN adalah £32.3 bilion pada empat suku hingga akhir suku pertama 2021 dengan potensi besar untuk meningkatkan perdagangan ini, menciptakan pekerjaan di negara masing-masing,” tekannya.

    Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama John Virgoe berkata bahawa UK amat menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan kerajaan Brunei atas sokongan mereka sepanjang permohonan mereka menjadi Rakan Dialog ASEAN.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda