Saturday, December 21, 2024
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    ASEAN+3 hadapi cabaran kenaikan semula inflasi, ketidaktentuan geopolitik

    SINGAPURA, 10 OKT – Ekonomi ASEAN+3, dalam jangka masa terdekat, perlu terus berhati-hati terhadap risiko berkaitan dengan peningkatan semula inflasi, ketegangan geopolitik yang semakin buruk serta kelembapan pertumbuhan global, yang boleh mencabar daya tahan sistem kewangan rantau ini.

    Ketua Ahli Ekonomi Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO), Khor Hoe Ee berkata memandangkan sistem kewangan semakin saling terhubung justeru, pemantauan berterusan terhadap kesan susulan antarabangsa adalah penting selain langkah memperkukuh pengawasan dan kerjasama bertumpu pada ASEAN+3.

    “Ini termasuk meningkatkan pengawasan rentas sempadan, perkongsian data, ujian tekanan serantau, penyeliaan lokasi yang menempatkan hos serta sokongan mudah tunai untuk menguruskan dan mengurangkan potensi risiko itu secara berkesan,” katanya dalam kata pengantar ASEAN+3 Financial Stability Report (AFSR 2024) oleh AMRO yang dilancarkan, hari ini.

    Beliau berkata tindakan untuk menstabilkan sektor hartanah perlu dilaksanakan untuk mengelakkan syarikat yang kukuh pada asasnya daripada mungkir disebabkan keadaan kredit yang ketat ekoran pasaran yang semakin buruk.

    Usaha itu termasuk meningkatkan daya tahan institusi kewangan terutama bank yang lebih kecil dan pengantara kewangan bukan bank (NBFI), katanya.

    Gambar Freepik

    Beliau berkata ASEAN+3 perlu memperkukuh asas ekonomi dan kewangan masing-masing serta meneguhkan kerangka pengawasan bagi memantau keadaan mudah tunai dolar Amerika Syarikat (AS) untuk meningkatkan daya tahan terhadap kejutan luaran dalam persekitaran yang bergantung kepada mata wang itu.

    Tindakan lain termasuk mengukuhkan rangka kerja kehematan makro untuk bank dan NBFI serta menyediakan sokongan pembiayaan kepada ahli ekonomi yang menghadapi tekanan mudah tunai dolar AS, katanya.

    Khor mencadangkan agar pergantungan struktur pada dolar AS dalam jangka masa sederhana hingga panjang dikurangkan dengan menggalakkan penggunaan mata wang tempatan dan membangunkan sistem pembayaran silang mata wang sewajarnya menjadi keutamaan penting.

    “Untuk menangani risiko dan cabaran jangka masa pendek hingga panjang terha-dap kestabilan kewangan ASEAN+3, rantau ini mesti bersatu sebagai kesatuan dan
    berusaha untuk daya tahan dan kestabilan,” katanya.

    Khor berkata secara keseluruhannya, risiko terhadap kestabilan kewangan di seluruh ASEAN+3 pada 2024 didapati lebih rendah berbanding pada 2023, menawarkan peluang untuk pihak berkuasa membina semula ruang dasar di samping kekal berwaspada terhadap risiko yang muncul. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda