Sunday, April 13, 2025
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    ASEAN+3 salur beras simpanan kepada Myanmar

    PHNOM PENH, 11 APRIL – Agensi simpanan beras kecemasan multilateral ASEAN telah menyalurkan 3,500 tan metrik beras putih bagi menyokong bantuan makanan kemanusiaan di Myanmar, susulan kejadian gempa bumi kuat baru-baru ini.  

    Pengurus Besar Sekretariat Rizab Beras Kecemasan ASEAN Campur Tiga (APTERR), Dr Choomjet Karnjanakesorn berkata beras itu akan diagihkan di Mandalay, Nay Pyi Taw dan Sagaing yang terjejas teruk akibat gempa bumi berukuran 7.7 magnitud pada 28 Mac lepas.  

    Kira-kira 100,000 orang dijangka mendapat manfaat daripada rizab beras kecemasan itu.  

    Beliau berkata agensi itu telah bekerjasama dengan Jabatan Pertanian (DOA) di bawah Kementerian Pertanian, Penternakan dan Pengairan Myanmar sejak gempa bumi itu bagi memastikan bantuan APTERR disalurkan tepat pada masanya semasa bencana.  

    “Sekretariat APTERR terus memantau rapat situasi pascagempa bumi ini dengan kerjasama DOA bagi memastikan agihan beras dilakukan secara berkesan, telus dan berwibawa supaya semua yang memerlukan dapat menerima bantuan beras ini,” katanya kepada Bernama.  

    Selepas menerima permintaan daripada DOA, APTERR telah meluluskan pelepasan bantuan beras itu pada 5 April.  

    Sumbangan beras itu terdiri daripada 500 tan metrik dari China dan 3,000 tan metrik dari Korea Selatan, yang telah disimpan di Yangon di bawah sistem stok simpanan  awal beras Tahap 3 bagi persediaan kecemasan di Myanmar.  

    APTERR ialah mekanisme keselamatan makanan serantau yang ditubuhkan melalui kerjasama 10 negara anggota ASEAN dan negara Campur Tiga – China, Jepun dan Korea Selatan. – Bernama

    Bantuan APTERR sebanyak 3,500 tan metrik beras putih akan disalurkan ke Mandalay, Myanmar. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda