Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Aset hutan negara dikawal, dipelihara

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 MAC – Jabatan Perhutanan aktif mengawal dan memelihara aset hutan di negara ini dengan salah satu projek dilaksanakan menyukat atau menilai kekayaan biodiversiti hutan yang kita miliki.

    Ia bagi mengesahkan bahawa hutan adalah salah satu aset yang terpenting.

    Selain itu, dalam usaha membanteras pencerobohan hutan, Jabatan Perhutanan dengan kerjasama Pasukan Polis Hutan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei turut menjalankan rondaan bagi memastikan hutan negara sentiasa terpelihara.

    Ia supaya tidak berlakunya sebarang pencerobohan seperti kegiatan mencuri kayu balak, kayu gaharu dan sebagainya.

    Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin menekankan perkara itu semasa menjelaskan strategi-strategi yang telah dilaksanakan oleh Jabatan Perhutanan selama ini dalam usaha berterusan untuk meningkatkan dan mengekalkan pemeliharaannya.

    Ini kerana dikhuatiri hutan-hutan ini akan dicerobohi oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab untuk mengambil hasil-hasil hutan yang berharga sebagaimana yang dibangkitkan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dr Haji Mahali bin Haji Momin, semasa sesi permesyuaratan MMN bagi hari ke-10 di Dewan Majlis, pagi tadi.

    Di samping itu, Yang Berhormat Dr Haji Mahali (gambar) turut mencadangkan agar dipertimbangkan rondaan oleh pasukan renjer hutan, penggunaan teknologi-teknologi terkini seperti dron dapat diaplikasikan sebagai salah satu inisiatif untuk terus melindungi kawasan hutan yang dicerobohi dan memelihara aset untuk kegunaan generasi pada masa akan datang.

    Cadangan itu telah disambut baik oleh Yang Berhormat Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan dengan merancang akan dibawa ke peringkat perbincangan bersama Jabatan Perhutanan demi meningkatkan lagi keberkesanan memelihara khazanah hutan negara.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...