Aset Kripto puluhan juta Euro ‘lesap’

PARIS, 23 JUN – Polis Perancis menjalankan siasatan mengenai dakwaan aset kripto bernilai puluhan juta euro hilang dari akaun persatuan yang mewakili ratusan pelabur, menurut sumber kehakiman.

RR Crypto, pakar aset digital berpangkalan berhampiran Dijon, tengah Perancis, pada hujung minggu lalu memaklumkan ahlinya kehilangan kesemua wang yang telah dilaburkan mereka, menyalahkan masalah teknikal.

Menurut laporan media, jumlah keseluruhan kerugian bernilai antara 40 dan 58 juta euro.

RR Crypto, persatuan tidak berdaftar dengan pihak berkuasa pasaran kewangan Perancis AMF, berkata bahawa mereka menjalankan perniagaan aset di platform Binance yang pakar dalam aset kripto.

Tetapi Binance memberitahu AFP dalam kenyataannya hari ini bahawa mereka tidak mempunyai rekod sebarang akaun syarikat RR Crypto.

Saluran berita BFMTV berkata, “Mustahil untuk mengetahui sama ada wang disimpan di bawah nama lain, atau sama ada portfolio merupakan rekaan semata-mata.”

Polis menyiasat geng pencuri, penggodam data yang dilindungi dan penggelapan wang haram, dengan beberapa perkhidmatan jenayah kewangan kerajaan terlibat dalam siasatan, beritahu sumber kehakiman AFP.

Pada Ahad, pengasas persatuan, Vincent Ropiot memberitahu beberapa ahlinya bahawa aset mereka ‘lesap’ tanpa dikesan apabila Binance ‘membuka semula’ akaun RR Crypto, menurut Le Journal dan akhbar Le Bien Public yang pertama melaporkan kes itu. – AFP

Polis Perancis menjalankan siasatan mengenai dakwaan aset kripto bernilai puluhan juta euro hilang dari akaun persatuan yang mewakili ratusan pelabur. – AP