Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 NOV – Negara Brunei Darussalam akan menjadi tuan rumah bagi Sukan Sekolah-sekolah ASEAN ke-14 (ASG14) yang dijadualkan berlangsung dari 20 hingga 28 November ini dengan penyertaan 10 buah negara ASEAN.
Negara-negara yang akan berentap pada temasya berprestij itu ialah Negara Brunei Darussalam, Indonesia, Republik Demokratik Rakyat Laos, Malaysia, Republik Filipina, Republik Singapura, Thailand, Kemboja, Myanmar dan Vietnam yang melibatkan penyertaan seramai 1,390 atlet pelajar.
Lapan acara sukan akan dipertandingkan iaitu badminton, bola keranjang, olahraga, renang, bola jaring, pencak silat, sepak takraw dan wusyu. Tema kejohanan pada tahun ini ialah Bekarih, Bejarih, Belurih, diadaptasi daripada perambahan Brunei yang mencerminkan nilai ketekunan, ketabahan dan kerja keras.
Menurut Pegawai Pelajaran, Awang Mohd Hafizan bin Hisham, selaku Sekretariat ASG14, Tahun 2025 ketika ditemu bual berkata, Kementerian Pendidikan telah menubuhkan dua jawatankuasa utama bagi memastikan kelancaran temasya tersebut, iaitu Jawatankuasa Eksekutif ASG14 yang dipengerusikan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh; Jawatankuasa Kerja ASG14 yang dipengerusikan bersama oleh Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad; Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin; dan Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan.
Struktur jawatankuasa tersebut memastikan segala persediaan dan pelaksanaan ASG14 berjalan mengikut perancangan yang rapi serta teratur dalam menguruskan aspek pertandingan dan logistik.



Sebagai langkah awal, mesyuarat chef de mission yang dihadiri oleh ketua-ketua kontinjen negara ASEAN telah diadakan pada bulan Julai lalu bagi membincangkan pelaksanaan teknikal dan persiapan kejohanan.
Pihak penganjur turut bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi termasuk KKBS, persatuan-persatuan sukan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, serta Kementerian Kesihatan bagi memastikan penganjuran berlangsung dengan lancar dan selamat mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Beliau menambah, penganjuran ASG14 ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan sukan pelajar di Negara Brunei Darussalam, selain memberi peluang kepada para pelajar menimba pengalaman, meningkatkan prestasi serta memupuk semangat kesukanan dan jati diri kebangsaan.
“Selain daripada itu, temasya ini diharap dapat memperkukuh ekosistem sukan di peringkat sekolah, termasuk pembangunan bakat, peningkatan kemahiran jurulatih dan pengurusan acara bertaraf antarabangsa,” jelasnya.
Menurut beliau lagi, ASG14 bukan sekadar kejohanan tetapi platform penting dalam melahirkan pelapis atlet yang berpotensi tinggi serta memupuk nilai disiplin, kerjasama dan semangat kesukanan dalam kalangan pelajar.
Dalam pada itu, orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat terkini mengenai ASG14 boleh mengunjungi Instagram rasmi @14thASEANSchoolsGames bagi mengikuti perkembangan semasa dan memberi sokongan kepada atlet pelajar negara.

