Kegembiraan penyanyi Di Ombak Resah, Ashira, 35, apabila dipilih menjadi salah seorang peserta program realiti, Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7) bertukar menjadi sayu apabila diusir keluar selepas gagal membayar sewa rumah selama enam bulan.
Berkongsi kisah sedihnya, Ashira atau nama sebenarnya, Sharifah Nur Ashira Syed Abdul Aziz berkata, dia tidak mampu membayar sewa rumah selepas kehilangan kerja sebagai penyanyi kelab berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan.
“Sebelum ini, saya menyanyi di kelab malam di Dubai, Bahrain dan Abu Dhabi. Bagaimanapun, saya pulang ke Malaysia, tahun lalu. Fokus saya hanya membuat persembahan gig memandangkan saya tidak ada kontrak untuk menyanyi bersama band di kelab.
“Sepatutnya, saya terbang ke China untuk menyanyi di sana, namun hasrat terpaksa dilupakan dalam masa sekarang.
“Saya tiada pendapatan apabila hilang punca pekerjaan. Mulanya, tuan rumah minta saya menjelaskan bayaran mengikut kemampuan. Walaupun tak banyak, saya usahakan juga.

“Tak sangka pula, tuan rumah bertindak mengarahkan saya keluar rumah dalam masa yang singkat. Ketika itu, saya baru saja mendapat berita diterima untuk menyertai GV7. Lebih menyedihkan, hari ini (23 September) adalah hari terakhir saya perlu serahkan kunci kepada tuan rumah,” katanya kepada media.
Walaupun kehilangan pendapatan tetap, namun Ashira tidak berputus asa untuk terus mencari rezeki demi menampung kehidupannya.
“Saya menjual laksa pada bulan puasa lalu. Sambutannya sangat menggalakkan memandangkan tiada bazar Ramadan dibenarkan beroperasi. Bagaimanapun, keadaan jadi sebaliknya apabila kedai makan mula beroperasi.
“Hasil jualan langsung tak balik modal, sekali gus menyukarkan saya membuat pusingan modal. Duit simpanan pula semakin menyusut membuatkan saya tak mampu nak menjelaskan sewa rumah,” kata ibu tunggal kepada seorang cahaya mata lelaki itu.
Sambil menyekat air mata yang mengalir, Ashira berkata, apa yang membuatkannya sedih apabila mengenangkan kesusahannya memberikan impak pada anak yang berusia 14 tahun itu.
“Saya pernah dihubungi guru sekolah menyatakan anak seperti berada dalam tekanan. Jujurnya, saya tak tahu mengenainya kerana dia tidak pernah meluahkan kepada saya.
Mungkin itu sifat remaja lelaki yang agak keberatan untuk berkongsi perasaan dengan ibu.
“Anak hanya bercerita dengan guru dan menyatakan kebimbangannya mahu meneruskan kehidupan dan persekolahan selepas kami diusir daripada rumah. Perkara inilah yang membuatkan hati bertambah sayu.” – Agensi