Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ashleigh kembali idam Piala Fed

    PERTH, AUSTRALIA, 7 NOV – Pemain nombor satu dunia Ashleigh Barty menikmati musim yang mengubah haluan kariernya dan ‘terlalu lapar’ untuk menamatkannya dengan mengemudi Australia menjulang kejuaraan Piala Fed pertama dalam tempoh 45 tahun.

    Juara tujuh kali itu tidak meraih kejayaan pada kejohanan itu sejak hari gemilang Evonne Goolagong pada 1974, dengan pemenang dua kali Perancis sedia menjadi penghalang di gelanggang keras Arena Perth, bermula Sabtu ini.

    Ia menandakan kali terakhir final Piala Fed dilangsungkan secara format semasa kerana tahun depan 12 negara akan bertanding selama enam hari di Budapest. Ketika ada peningkatan ketara dari segi hadiah kemenangan, ia menamatkan aksi di gelanggang sendiri, susulan perubahan sama bagi pertandingan lelaki Piala Davis.

    Ashleigh, yang masih segar muncul juara Pusingan Akhir WTA di Shenzhen Ahad lalu, mengetuai pasukan yang menampilkan pemain nombor 51 dunia, Ajla Tomljanovic yang membuat penampilan sulung, pemain veteran Samantha Stosur (96), Astra Sharma (108) dan Priscilla Hon (126).

    “Ini minggu yang saya sasarkan sejak awal tahun dan kejayaan menamatkan tahun bermain sebagai satu pasukan buat negara anda sesuatu yang amat istimewa dan saya sudah lama menanti saat sebegini,” kata Ashleigh.

    “Kami semuanya terlalu lapar – ia mengambil masa mungkin dua atau tiga tahun buat kami untuk berada di posisi ini dan kini kami perlu mempamerkan aksi terbaik di luar sana.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda