Ikut resmi padi, semakin tunduk, semakin berisi. Itulah prinsip dipegang aktor berpengalaman, Ashraf Muslim, 41, tidak kisah digelar hero tua, asalkan masih menjadi pilihan penerbit dan pengarah selepas hampir dua dekad bergelar anak seni.
Ashraf berkata, apa yang lebih penting, lakonannya memberi impak dan meninggalkan kesan mendalam di hati penonton.
“Usia hanya sekadar angka. Apa yang lebih penting, saya semakin matang dalam bidang lakonan.
“Saya menjadikan hero tua seperti Datuk Rahim Razali dan Sidi Oraza sebagai inspirasi untuk menjadi pelakon berkaliber dalam industri lakonan,” katanya kepada media.
Pelakon yang melonjak populariti menerusi drama Dia Menantu Rahsia dan 3 Nota Cinta itu menafikan masih menjadi pilihan pengarah disebabkan wajah kacak.
“Saya tidak melihat wajah kacak atau awet muda menjadi faktor kenapa pengarah masih memilih saya memegang watak hero.
“Sebaliknya, saya percaya kita kena sentiasa berdisiplin, hormat kepada orang dan menjaga kualiti dalam lakonan,” katanya yang kini sudah 17 tahun berkecimpung dalam bidang lakonan.
Mengulas gandingan bersama pelakon baharu, Ashraf yang pernah bekerjasama dengan Sharifah Rose menerusi drama 3 Nota Cinta berkata, dia tiada masalah berlakon dengan bintang baharu.
“Saya juga bermula dari pelakon ‘kayu’ sebelum berada pada tahap hari ini.
“Sebab itu, saya tidak kisah berlakon dengan pelakon baharu yang masih dianggap ‘kayu’, asalkan mahu belajar ilmu lakonan,” katanya yang akan muncul dengan filem baharu, Musyrik – Api Neraka Menantimu!
Bercerita mengenai filem genre seram itu, Ashraf berkata, dia menerima tawaran berlakon dalam filem arahan Arjin Uppal itu disebabkan mahukan kelainan.
Menerusi filem terbitan White Merpati Entertainment Sdn Bhd itu, Ashraf bergandingan dengan Aeril Zafrel dan Ruhainies selaku teraju utama. – Agensi