TOKYO, 11 JAN – Rantau Asia kini diancam jangkitan denggi dan virus lain daripada spesies nyamuk yang dikesan mempunyai daya tahan tinggi terhadap racun serangga dan penyelidik memberi amaran langkah baharu untuk mengawalnya amat diperlukan.
Lazimnya, pihak berkuasa kesihatan mengasap kawasan yang dipenuhi nyamuk dengan semburan racun serangga tetapi ketahanan serangga itu sudah lama menjadi kebimbangan dalam skala masalah yang tidak difahami dengan baik.
Pengarah Jabatan Entomologi Perubatan di Institut Penyakit Berjangkit Kebangsaan Tokyo, Jepun, Shinji Kasai telah melakukan penyelidikan mengenai nyamuk dari beberapa negara di Asia dan Ghana.
Kasai dan pasukannya mendapati beberapa siri mutasi mengakibatkan bahan kimia tertentu berasaskan piretoid yang popular seperti permethrin, hampir lali dengan nyamuk.
“Di Kemboja, lebih daripada 90 peratus nyamuk Aedes aegypti mempunyai gabungan mutasi mengakibatkan tahap rintangan yang sangat tinggi,” kata Kasai kepada AFP.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/01/P1-B_12012023.jpg)
Menurutnya, beberapa strain mempunyai rintangan 1,000 kali ganda berbanding 100 kali ganda yang dilihat sebelumnya.
Ini bermakna paras racun serangga yang biasanya membunuh hampir 100 peratus nyamuk dalam sampel, kini membunuh hanya sekitar tujuh peratus daripada keberkesanan awal.
Malah, satu dos 10 kali lebih kuat membunuh hanya 30 peratus daripada nyamuk yang berdaya tahan tinggi.
“Tahap rintangan yang kami temui dalam nyamuk di Kemboja dan Vietnam adalah berbeza sama sekali,” kata Kasai yang juga pengarah Jabatan Entomologi Perubatan di Institut Penyakit Berjangkit Kebangsaan Jepun.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), denggi boleh mengakibatkan demam berdarah dan menjangkiti anggaran 100 hingga 400 juta orang setahun, walaupun lebih 80 peratus kes adalah ringan atau tanpa gejala.
Beberapa vaksin denggi sudah dibangunkan, dan penyelidik juga sudah menggunakan bakteria yang memandulkan nyamuk untuk menangani virus itu.
Bagaimanapun, setakat ini, tiada satu pun yang berupaya untuk membasmi denggi, malah nyamuk Aedes aegypti turut membawa penyakit lain, termasuk zika dan demam kuning.
Tahap rintangan juga berbeza dengan nyamuk dari Ghana dan sebahagian kawasan di Indonesia dan Taiwan masih mudah dihapuskan menggunakan racun kimia sedia ada, terutamanya dalam dos yang tinggi.
Namun penyelidikan menunjukkan ‘strategi yang sering digunapakai mungkin tidak lagi berkesan,” kata Cameron Webb, seorang profesor bersekutu dan penyelidik nyamuk di Patologi Kesihatan NSW dan Universiti Sydney.
“Terdapat bukti jelas bahawa mungkin tidak ada tempat bagi formulasi racun serangga digunakan sekarang bagi mengawal populasi utama nyamuk,” Webb memberitahu AFP.
Menurutnya, racun kimia baharu diperlukan, namun pihak berkuasa dan penyelidik perlu memikirkan cara lain melindungi masyarakat, termasuk vaksin.
Bagi Kasai, mereka juga pernah memikirkan untuk menukar racun serangga…berdasarkan sasaran tapak berbeza.
Namun masalahnya kita tidak punya banyak jenis racun yang boleh kita gunakan, tambahnya yang penyelidikannya diterbitkan dalam jurnal Sciences Advances bulan lalu. –AFP