Ahad, 23 November 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Asia ‘dicengkam’ gelombang panas

    BANGKOK, 1 MEI – Beberapa kawasan di Asia sedang mengalami cuaca panas terik berikutan gelombang haba melepasi suhu pecah rekod dari Myanmar hingga Filipina, sekali gus memaksa jutaan kanak-kanak tinggal di rumah dan tidak ke sekolah.

    Saintis memberi amaran keadaan itu akan menjadi lebih kerap disebabkan perubahan iklim.

    Cuaca panas melanda sebahagian besar Asia Selatan dan Asia Tenggara, dengan suhu pecah rekod di Chauk, Myanmar dan ibu negara Filipina, Manila, sejak beberapa hari kebelakangan ini.

    Pihak berkuasa Thailand mengeluarkan amaran mengenai keadaan yang teruk, manakala pihak berkuasa di Kemboja, Myanmar, Vietnam, India dan Bangladesh, meramalkan suhu melebihi 40 darjah Celsius.

    Filipina dan Bangladesh kedua-duanya menggantung pembelajaran secara bersemuka, manakala India sedang mengkaji sama ada cuaca panas menjejaskan peratusan keluar mengundi pada pilihan raya negara.

    Seorang pekerja membawa pendingin udara ke kenderaan pelanggan pada haris panas terik di Hyderabad di tengah gelombang panas berterusan pada 28 April 2024. – AFP

    Kawasan utara di Jepun turut terjejas, dengan suhu di Sapporo pada bulan ini melepasi 25 darjah Celsius.

    Musim tengkujuh atau musim hujan di rantau ini adalah panas tetapi suhu tahun ini melebihi suhu purata di banyak negara.

    Menurut pakar, perubahan iklim mencetuskan gelombang haba yang lebih kerap dan lebih lama.

    Sementara itu, Pertubuhan Meteorologi Sedunia, sebuah agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berkata, Asia mengalami pemanasan lebih cepat daripada purata global.

    Ahli meteorologi dan felo penyelidik pelawat di Universiti Teknologi Sydney berkata, fenomena El Nino memainkan peranan terhadap suhu panas pada tahun ini. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda