Friday, November 22, 2024
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Asia Pasifik diramal perlukan 19,500 pesawat baharu menjelang 2043

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 NOV – Airbus menjangkakan sektor penerbangan Asia Pasifik memerlukan sebanyak 19,500 pesawat baharu dalam tempoh 20 tahun akan datang, mewakili 46 peratus daripada keperluan global, yang dijangka mencecah 42,430 pesawat baharu menjelang 2043.

    Presiden Airbus Asia Pasifik, Anand Stanley membentangkan unjuran tersebut semasa Persidangan Tahunan Persatuan Syarikat Penerbangan Asia Pasifik (AAPA) di Brunei, menekankan kepentingan rantau ini dalam pertumbuhan pasaran penerbangan global.

    Airbus menjangkakan permintaan pesawat di Asia Pasifik akan meningkat sebanyak tiga peratus setiap tahun, didorong oleh keperluan pertumbuhan dan penggantian armada. Ini termasuk 16,000 pesawat lorong tunggal seperti armada A220 dan A320neo, serta 3,500 pesawat bersaiz sederhana dan besar seperti A330neo dan A350.

    Manakala 71 peratus penghantaran pesawat dijangka menyokong pengembangan armada sementara 29 peratus untuk menggantikan model lama, menyokong usaha pengurangan pelepasan karbon.

    Dalam segmen kargo, rantau ini dijangka memerlukan 250 pesawat kargo badan lebar baharu, mewakili 10 peratus permintaan global. Model A350F menjadi pilihan utama kerana kecekapan dan pematuhan kepada piawaian emisi ICAO.

    Sokongan utama model tersebut datang daripada STARLUX Airlines, yang menempah lima A350F awal tahun ini.

    Selain itu, trafik penumpang di Asia Pasifik dijangka berkembang pada kadar tahunan 4.8 peratus, mengatasi kadar pertumbuhan global 3.6 peratus. Pesawat badan lebar seperti A350 dan A330neo bukan saja memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesalinghubungan penumpang tetapi juga memenuhi permintaan kargo yang semakin meningkat.

    Pesawat A350 telah memantapkan dirinya sebagai peneraju dalam perjalanan jarak jauh, dengan hampir 300 pesawat A350 telah pun beroperasi di Asia Pasifik dan 230 buah lagi telah ditempah.

    Anand Stanley menyatakan, “Sebagai salah satu pasaran penerbangan yang berkembang paling pesat di dunia, rantau Asia Pasifik dijangka mencatat pertumbuhan yang signifikan dalam tempoh dua dekad akan datang. Airbus bersedia membantu rakan kongsi penerbangan mencapai matlamat jangka panjang mereka dengan pesawat yang paling efisien, mampan dan maju.”

    Anand Stanley semasa membentangkan unjuran. – GAMBAR SERAHAN RB
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda