BALI, 17 JUN – Negara-negara dan wilayah di rantau Asia-Pasifik menyeru tindakan segera dan perpaduan dalam memerangi malaria semasa Sidang Kemuncak Pemimpin Asia Pasifik ke-9 mengenai Penghapusan Malaria yang berlangsung di Bali, Indonesia dari kelmarin sehingga hari ini.
“Masa adalah sumber paling berharga yang kita ada. Dalam era konflik luar biasa, penyusutan dan kekacauan dalam landskap kesihatan global ini, apa yang paling kita perlukan ialah kerjasama dan komitmen,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Perikatan Pemimpin Asia Pasifik Mengenai Malaria, Sarthak Das, hari ini.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah merekodkan lebih 260 juta kes malaria di seluruh dunia, dengan lebih 600,000 kematian dan tiga perempat daripadanya adalah kanak-kanak di bawah umur lima tahun.
Sesi teknikal bersama pakar antarabangsa diadakan pada hari pertama, membincangkan bukti terkini, inovasi, serta strategi kawalan dan penghapusan malaria, sambil menekankan kepentingan solidariti merentasi sempadan, sektor dan komuniti.
Pengarah Eksekutif The Global Fund, Peter Sands, turut menekankan kemajuan yang telah dicapai dalam menangani malaria, sejajar dengan kemajuan teknologi dan inovasi perubatan global.
Beliau turut menegaskan kepentingan sidang kemuncak tersebut semasa negara dan rantau itu berdepan dengan cabaran besar dalam memerangi malaria, bukan sahaja perubahan iklim, konflik dan tekanan ekonomi, tetapi juga penurunan ketara dalam pembiayaan luar. – Xinhua
