BANDA ACEH, 26 DIS – Negara-negara Asia mengadakan acara memperingati bencana Tsunami Lautan Hindi yang berlaku genap 20 tahun lalu.
Majlis penuh emosi itu berlangsung hari ini untuk mengenang lebih 220,000 orang yang terkorban dua dekad lalu apabila tsunami memusnahkan kawasan pantai sekitar Lautan Hindi, dalam salah satu bencana alam terburuk dalam sejarah manusia.
Gempa bumi berkekuatan 9.1 magnitud yang berlaku di hujung barat Indonesia pada 26 Disember 2004 mencetuskan siri gelombang setinggi 30 meter, menjejaskan 14 negara di dua benua dari Indonesia hingga ke Somalia.
Di Wilayah Aceh, Indonesia, yang mencatatkan kehilangan lebih 100,000 nyawa, dengan bunyi siren bergema di Masjid Raya Baiturrahman, menandakan permulaan rangkaian upacara memperingati peristiwa hitam itu di seluruh wilayah, termasuk di Sri Lanka, India dan Thailand, yang turut dilanda tsunami beberapa jam kemudian.
Orang ramai berkongsi pengalaman ngeri dan kisah keajaiban terselamat apabila gelombang dahsyat itu melanda tanpa sebarang amaran, membawa serpihan seperti kereta dan memusnahkan bangunan sepanjang laluannya.

“Saya fikir ketika itu hari kiamat telah berlaku,” kata seorang guru, Hasnawati, 54, di Masjid Raya Baiturrahman, yang turut rosak akibat tsunami.
“Pada pagi Ahad, ketika keluarga kami sedang bergelak tawa bersama, tiba-tiba bencana berlaku dan semuanya hilang. Saya tidak dapat menggambarkannya dengan kata-kata,” katanya penuh emosi.
Di tanah perkuburan besar Siron di Aceh, tempat sekitar 46,000 mangsa dikebumikan, ahli keluarga membaca doa dalam suasana hiba di bawah teduhan pokok-pokok yang kini menghiasi kawasan tersebut.
Seorang suri rumah, Khyanisa, 59, mengimbau kembali kenangan ketika kehilangan ibu dan anak perempuannya, yang gagal ditemui walaupun usaha pencarian telah dilakukan tanpa henti.
“Saya terus menyebut nama Tuhan. Saya mencari mereka di mana-mana,” katanya dalam nada sebak. – AFP







